CANBERRA: Australia akan melonggarkan piawaian kualiti bahan api secara sementara bagi menangani gangguan bekalan minyak dan lonjakan harga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Tenaga Chris Bowen memaklumkan melalui langkah kecemasan selama 60 hari itu, kerajaan akan membenarkan penjualan bahan api dengan kandungan sulfur yang lebih tinggi.
Langkah ini dijangka mampu membawa tambahan 100 juta liter bahan api ke dalam pasaran domestik setiap bulan bagi mengurangkan tekanan bekalan.
"Situasi di Asia Barat telah menjejaskan rantaian bekalan minyak dunia secara drastik, dan keutamaan kami sekarang adalah memastikan kelangsungan bekalan tenaga untuk rakyat Australia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Canberra sedang mengadakan perbincangan dengan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengenai kemungkinan pelepasan stok simpanan minyak secara selaras.
Bagaimanapun, Bowen menegaskan bahawa sebarang jumlah tong minyak yang disumbangkan akan dikekalkan dalam pasaran domestik Australia bagi menstabilkan harga di pam.
Keputusan menggunakan bahan api "kotor" ini menunjukkan skala impak ekonomi akibat konflik Asia Barat yang kini memaksa negara-negara maju mengkompromi piawaian alam sekitar demi keselamatan tenaga nasional.