TENTERA Udara Amerika Syarikat (AS) akan mengecat semula armada pesawat Presiden dan VIP mengikut skema warna pilihan Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi yang memetik CBS News.
Perubahan itu melibatkan reka bentuk luaran pesawat yang digunakan untuk mengangkut Presiden dan pegawai kanan lain.
Di bawah pelan berkenaan, skema warna biru muda dan putih yang digunakan sejak pentadbiran Presiden John F. Kennedy akan digantikan dengan warna biru gelap, merah tua dan keemasan selaras dengan pilihan Trump.
Pegawai berkata, pesawat yang kini menggunakan warna biru dan putih sedang dicat semula ketika menjalani penyelenggaraan dan pembaikan berkala.
Reka bentuk baharu itu bukan sahaja akan digunakan pada pesawat Presiden, yang lazimnya dikenali sebagai Air Force One apabila Presiden berada di dalamnya, malah turut melibatkan pesawat C-32 yang lebih kecil yang digunakan untuk mengangkut pegawai kanan termasuk anggota Kabinet kanan.
-- BERNAMA-ANADOLU