Skip to main content

Dunia

Arab Saudi pintas 56 dron sejak awal Jumaat - Kementerian Pertahanan

SAUDI DEFENSE MINISTRY
Dalam kenyataan terbaharu, Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan, pertahanan udara memintas dan memusnahkan tiga dron, satu di Wilayah Timur, dua lagi di Wilayah Al-Kharj. - Foto Kementerian Pertahanan Arab Saudi

ISTANBUL: Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan telah memintas 56 dron yang memasuki ruang udara negara itu sejak awal Jumaat, termasuk sebuah  yang cuba menghampiri kawasan diplomatik kawalan keselamatan tinggi di ibu negara, Riyadh, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian dalam satu siri hantaran ke platform media sosial X menyatakan, pertahanan udara memintas dron-dron berkenaan pada waktu yang berbeza selepas ia memasuki ruang udara Arab Saudi, tanpa memperincikan lokasi tepat bagi kebanyakan pemintasan itu.

Dalam kenyataan terbaharunya, kementerian itu memaklumkan, pertahanan udara memintas dan memusnahkan tiga dron, dengan satu daripadanya dikesan di Wilayah Timur manakala dua lagi di Wilayah Al-Kharj.

Pihak kementerian turut mengumumkan kejayaan menjatuhkan sebuah “dron musuh ketika cuba menghampiri Kawasan Diplomatik” di Riyadh.

Kementerian kemudian menyatakan tiga lagi dron dipintas dan dimusnahkan di Wilayah Al-Kharj serta kawasan Gurun “Empty Quarter” sejurus selepas pengumuman mengenai pemintasan dua dron di Al-Kharj.

Selain itu, pertahanan udara Arab Saudi juga telah memintas dan memusnahkan 24 dron di Wilayah Timur, menurut kementerian berkenaan.

Tujuh dron yang menyasarkan wilayah Timur dan Tengah kerajaan itu turut berjaya dipintas. Terdahulu, kementerian melaporkan sistem pertahanan memintas dan memusnahkan 16 dron selepas ia memasuki ruang udara negara itu.

Pada petang Khamis, Kementerian Pertahanan memaklumkan, pihaknya telah memintas 53 dron dan memusnahkan lima peluru berpandu balistik dalam tempoh 24 jam.

Kementerian tidak mendedahkan pihak yang melancarkan dron terbabit, namun serangan berkenaan berlaku serentak dengan serangan yang dilancarkan oleh Iran terhadap beberapa negara Arab di rantau itu sejak 28 Feb, susulan serangan Israel-AS ke atas Iran.

Iran menyatakan ia tidak menyasarkan negara tertentu sebaliknya menumpukan kepada “pangkalan dan kepentingan AS di rantau berkenaan”, walaupun serangan itu telah menyebabkan kerosakan pada kemudahan awam termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan bangunan lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

Must Watch Video