RIYADH: Arab Saudi menafikan laporan The New York Times yang mendakwa kepimpinan negara itu menggalakkan konflik berpanjangan dengan Iran.
Menurut laporan Al Arabiya, seorang sumber kerajaan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar.
Laporan berkenaan yang diterbitkan pada Ahad mendakwa Putera Mahkota, Mohammed bin Salman menasihatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya “terus menyerang Iran dengan kuat.”
Bagaimanapun, sumber tersebut menegaskan dakwaan itu tidak benar.
Awal bulan ini, Kedutaan Arab Saudi di Washington turut menolak laporan The Washington Post yang mendakwa Riyadh secara senyap melobi AS untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Arab Saudi juga antara negara Teluk yang konsisten menyatakan pendirian mahu mengelakkan konflik ketenteraan lebih luas di rantau berkenaan, dan menegaskan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam mana‑mana peperangan yang mungkin tercetus. - Agensi