Skip to main content

Dunia

Anggota Pengaman PBB Indonesia terbunuh, beberapa cedera di selatan Lubnan

UNIFIL vehicles drive on a main road in Qlayaa, amid escalating hostilities between Israel and Hezbollah, as the U.S.-Israel conflict with Iran continues, in Qlayaa, southern Lebanon, March 27, 2026. REUTERS/Karamallah Daher
Kenderaan UNIFIL bergerak di sebuah jalan utama di Qlayaa ketika permusuhan antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak. - Foto REUTERS

BEIRUT: Seorang anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam satu insiden letupan di selatan Lubnan, menurut kenyataan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

UNIFIL berkata seorang anggota pengaman maut selepas sebutir peluru meletup di salah satu pos pasukan itu berhampiran perkampungan Adchit al‑Qusayr di selatan Lubnan pada Ahad.

Dalam kenyataan awal pada Isnin, misi PBB itu turut memaklumkan seorang lagi anggota pengaman berada dalam keadaan kritikal akibat insiden berkenaan.

Kementerian Luar Indonesia mengesahkan bahawa anggota pengaman yang terbunuh adalah warganegara republik itu.

Menurut kementerian berkenaan, tiga lagi anggota pasukan Indonesia turut cedera akibat tembakan artileri tidak langsung yang berlaku berhampiran kedudukan kontinjen UNIFIL Indonesia di kawasan Adchit al‑Qusayr.

“Kami masih belum mengetahui punca atau asal peluru berkenaan. Satu siasatan telah dilancarkan bagi menentukan semua keadaan di sebalik insiden ini,” menurut kenyataan UNIFIL.

Insiden itu berlaku ketika keadaan keselamatan di selatan Lubnan kekal tegang susulan konflik berterusan di sepanjang sempadan Lubnan–Israel. UNIFIL bagaimanapun tidak mengesahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Indonesia merupakan antara penyumbang utama anggota pasukan pengaman kepada UNIFIL, dengan ratusan tenteranya ditempatkan di selatan Lubnan bagi membantu memantau gencatan senjata dan menjaga kestabilan di kawasan itu.

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan mereka sedang memantau perkembangan situasi dengan rapat dan akan terus berhubung dengan PBB serta pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota pengaman negara itu di lapangan.
 

Must Watch Video