WASHINGTON: Seorang anggota Marin Amerika Syarikat (AS) menjadi korban pertama dalam operasi pentadbiran Donald Trump yang menyasarkan bot penyeludupan dadah, selepas terjatuh dari kapal serang di Caribbean.
Lance Koperal Chukwuemeka E. Oforah, 21, terjatuh dari kapal USS Iwo Jima pada 7 Februari sebelum hilang di laut.
Pencarian besar-besaran selama tiga hari oleh lima kapal dan 10 pesawat menemui kegagalan, dan beliau diumumkan meninggal dunia pada 10 Februari.
Kematian beliau, yang masih dalam siasatan tentera, diumumkan pada Rabu.
Oforah berasal dari Florida dan terlibat dalam Operasi Southern Spear, yang sejak September telah melancarkan 38 serangan maut ke atas bot yang didakwa membawa dadah di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik, serta memainkan peranan dalam penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Tentera tidak memberi maklumat tentang bagaimana beliau boleh terjatuh dari kapal.
“Kami semua berkabung bersama keluarga Oforah,” kata Kolonel Tom Trimble, komander unit Marin Special Operations Capable.
“Kehilangannya amat dirasai seluruh pasukan Tentera Laut-Marin.”
USS Iwo Jima sebelum ini digunakan untuk membawa Maduro selepas beliau ditahan dalam serbuan AS.
Serangan udara terhadap bot penyeludupan juga dilaporkan berkurangan sejak penahanan tersebut.
Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth berkata operasi itu bertujuan “menyingkirkan pengganas dadah dari rantau ini” dan mengekang kemasukan bahan terlarang ke AS.
Namun pakar undang-undang memberi amaran bahawa serangan yang menyasarkan bot awam tanpa proses undang-undang boleh melanggar undang-undang antarabangsa.
AS turut berdepan kritikan susulan serangan susulan atau 'double‑tap' pada 2 September terhadap bot dadah Venezuela, manakala keluarga dua rakyat Trinidad yang maut dalam serangan 14 Oktober telah memfailkan saman, menuduh tindakan itu sebagai “pembunuhan tanpa undang‑undang”.