PUTRAJAYA: Pengukuhan ringgit ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, disifatkan sebagai cerminan kepimpinan tegas dan hala tuju ekonomi yang konsisten di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata dalam suasana global yang masih mencabar, prestasi mata wang tempatan itu mencerminkan keyakinan pasaran yang semakin kukuh terhadap asas ekonomi negara.
Beliau berkata langkah kerajaan mengurus perbelanjaan negara secara berdisiplin, membanteras ketirisan serta memperkukuh tadbir urus telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelabur dan komuniti perniagaan.
“Pencapaian ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada di landasan yang stabil dan diyakini pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengukuhan ringgit turut membawa manfaat langsung kepada rakyat apabila nilai mata wang yang lebih kukuh membantu meringankan kos import barangan keperluan asas serta menyumbang kepada kestabilan harga.
Ahmad Farhan berkata keadaan itu juga memberi ruang kepada kerajaan untuk terus memperluas bantuan dan perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan keyakinan pelabur asing membuka peluang pekerjaan baharu serta menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi, pembuatan lanjutan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Pengukuhan berterusan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi gambaran jelas bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan secara bijaksana, konsisten dan berintegriti telah mula membuahkan hasil yang nyata,” katanya.