WASHINGTON: Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) dari Parti Demokrat, Eric Swalwell berkata, beliau merancang untuk meletakkan jawatan daripada Kongres susulan dakwaan salah laku seksual terhadapnya serta tekanan yang semakin meningkat daripada ahli perundangan kedua-dua parti.
Pengumuman itu dibuat pada Isnin ketika Swalwell berdepan siasatan Jawatankuasa Etika Dewan Rakyat yang baru diumumkan, serta kemungkinan usul untuk memecatnya daripada Kongres.
“Memecat sesiapa di Kongres tanpa proses sewajarnya, hanya beberapa hari selepas dakwaan dibuat, adalah tidak wajar,” kata Swalwell dalam satu kenyataan di platform X.
“Namun, adalah juga tidak adil untuk pengundi saya jika saya terus terganggu daripada menjalankan tugas. Oleh itu, saya merancang untuk melepaskan kerusi saya di Kongres,” katanya.
Swalwell tidak menyatakan dengan tepat bila akan berundur, tetapi berkata, beliau akan bekerjasama dengan kakitangannya bagi memastikan perkhidmatan kepada penduduk daerah kongresnya dapat diteruskan.
Ahli politik berusia 45 tahun itu turut memohon maaf kepada keluarganya, kakitangan dan pengundi atas apa yang disifatkannya sebagai “kesilapan pertimbangan” dalam masa lalu, namun menegaskan, beliau menafikan dakwaan paling serius yang dilemparkan terhadapnya.
"Saya akan mempertahankan diri terhadap dakwaan serius yang tidak benar.
"Bagaimanapun, saya bertanggungjawab atas kesilapan yang memang saya lakukan,” katanya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Swalwell menggantung kempennya untuk menjadi Gabenor California.
Keputusan tersebut menyusul laporan media yang memetik dakwaan seorang bekas kakitangannya yang beliau melakukan serangan seksual ketika mangsa berada dalam keadaan mabuk dan tidak mampu memberi persetujuan.
Selain itu, tiga wanita lain yang bercakap kepada CNN mendakwa terdapat bentuk lain salah laku seksual, termasuk penghantaran mesej lucah serta gambar bogel yang tidak diminta.
Swalwell secara berulang kali menafikan dakwaan serangan seksual tersebut.
Swalwell telah berkhidmat sebagai anggota Dewan Rakyat Amerika Syarikat sejak 2013 dan sebelum ini dikenali sebagai antara pengkritik lantang bekas Presiden Donald Trump.
Jawatankuasa Etika Dewan Rakyat mengesahkan pada Isnin bahawa siasatan rasmi telah dimulakan bagi meneliti dakwaan-dakwaan tersebut. - Agensi