WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada Khamis berkata “jumlah tenaga yang semakin meningkat” sedang mengalir melalui Selat Hormuz ketika hubungan tidak langsung antara AS dan Iran menunjukkan kemajuan, lapor Anadolu Ajansi.
Terdapat negara perantara yang sedang menyampaikan pesanan, dan kemajuan telah dicapai, kata Rubio kepada pemberita sebelum berlepas ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis.
“Terdapat jumlah tenaga yang semakin meningkat yang telah mengalir melalui selat itu, tidak sebanyak yang sepatutnya mengalir, tetapi sebahagian daripadanya telah meningkat.
"Terdapat beberapa kemajuan berkaitan pertukaran pesanan, tetapi itu adalah proses yang berterusan dan berubah-ubah, dan bukannya sesuatu yang akan kami rundingkan atau bincangkan dalam media,” tambahnya.
Rubio berkata, Selat Hormuz boleh dibuka esok jika Iran berhenti mengancam perkapalan global.
“Bagi semua negara yang mementingkan undang-undang antarabangsa, mereka sepatutnya melakukan sesuatu mengenainya,” katanya, sambil menambah bahawa sangat sedikit daripada tenaga AS datang melalui Selat Hormuz.
“Dunia yang mempunyai kepentingan besar dalam perkara itu, jadi mereka harus tampil ke hadapan dan menanganinya,” tambahnya.
Ditanya mengenai laporan sokongan Rusia terhadap Iran, Rubio berkata, Moscow terutamanya menumpukan perhatian kepada perang di Ukraine.
Rubio akan bertemu Menteri Luar G7 pada Jumaat di Perancis untuk perbincangan mengenai perang Rusia di Ukraine dan situasi Asia Barat yang berpunca daripada perang AS-Israel ke atas Iran, menurut Jabatan Negara.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Presiden Donald Trump telah menggesa sekutu dan pesaing, termasuk China, untuk membantu mengawal keselamatan selat itu, sebuah laluan air yang penting, memandangkan gangguan di sana telah menyebabkan harga minyak global meningkat.
Beberapa negara Eropah menolak, dengan menyatakan konflik Iran adalah perang yang dimulakan oleh Trump tanpa berunding dengan sekutu AS.
AS dilaporkan mengemukakan pelan 15 perkara kepada Iran untuk menamatkan perang dan menggariskan langkah mengenai program nuklear dan peluru berpandu balistik Tehran, serta keselamatan maritim di Selat Hormuz.
Iran menolak cadangan itu dan menggariskan lima syarat untuk menamatkan perang, termasuk menghentikan serangan, jaminan terhadap konflik berulang, pengiktirafan kedaulatannya ke atas Selat Hormuz, dan pampasan bagi kerosakan perang.
-- BERNAMA-ANADOLU