NEW YORK: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa yang berpangkalan di New York bahawa ia akan melancarkan satu sistem Isnin depan bagi mengeluarkan bayaran balik berjumlah AS$166 bilion kepada pengimport Amerika, lapor Xinhua.
Perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dalam satu pemfailan mahkamah pada Selasa berkata pihaknya telah menyiapkan pembangunan fasa awal sistem bayaran balik itu yang dikenali sebagai CAPE. Setiap pengimport akan menerima satu bayaran elektronik tunggal bersama faedah.
Agensi itu merancang melaksanakan sistem bayaran balik secara berperingkat. Lebih 330,000 pengimport telah membayar tarif ke atas 53 juta penghantaran barangan import, menurut dokumen mahkamah.
Sehingga 9 April, kira-kira 56,497 pengimport yang layak telah melengkapkan proses untuk menerima bayaran balik tarif secara elektronik berjumlah AS$127 bilion, menurut pemfailan pada Selasa.
Mahkamah Agung AS pada Februari memutuskan bahawa tarif menyeluruh yang dikenakan Presiden AS Donald Trump di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa adalah tidak berperlembagaan, sekali gus membatalkan secara rasmi tarif global yang diperkenalkan Trump sejak April 2025.
Walaupun proses bayaran balik tarif akan bermula, pengguna tidak seharusnya menjangkakan akan menerima sebarang bayaran balik.
Menurut tinjauan suku tahunan terkini Majlis Ketua Pegawai Kewangan CNBC, walaupun 12 daripada 25 ketua pegawai kewangan berkata syarikat mereka merancang memohon bayaran balik tarif, tiada seorang pun menyatakan mereka berhasrat menyalurkan wang itu secara langsung kepada pelanggan.
-- BERNAMA-XINHUA