Skip to main content

Dunia

12 terkorban, puluhan cedera apabila bas bertembung tren di tenggara Bangladesh

People climb on top of a train as they leave Dhaka to celebrate Eid with their families, at a railway station in Gazipur, Bangladesh, March 18 2026. / Reuters
Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas memasuki landasan kereta api akibat ketiadaan isyarat di lintasan rel Paduar Bazar. - Gambar fail/Reuters

DHAKA: Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 26 lagi cedera dalam perlanggaran antara bas dan kereta api di daerah Comilla di tenggara Bangladesh awal pagi Ahad, menurut pegawai perkhidmatan bomba dan polis, lapor Anadolu Ajansi.

Mangsa yang maut termasuk dua wanita dan tiga kanak-kanak, kata Timbalan Penolong Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam (Comilla) Mohammad Idris kepada Anadolu, dengan 10 daripada mangsa cedera masih dirawat di hospital.

Kereta api menuju ke Dhaka yang berlepas dari bandar pelabuhan Chittagong bertembung dengan sebuah bas yang dalam perjalanan ke arah Chittagong dari daerah Chapainawabganj di barat, di lintasan rel Paduar Bazar di bandar Comilla.

Kereta api itu menyeret bas berkenaan sejauh satu kilometer.

Idris berkata, “Kami percaya kemalangan itu berlaku apabila bas memasuki landasan kereta api akibat ketiadaan isyarat di lintasan rel Paduar Bazar.”

Bangladesh Railway menubuhkan dua jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kemalangan itu dan menggantung dua penjaga lintasan rel, menurut laporan media tempatan.

Bangladesh lazimnya menyaksikan kesesakan besar di stesen kereta api, bas dan terminal feri, khususnya di Dhaka, apabila orang ramai pulang ke kampung untuk bercuti sempena Aidilfitri bersama keluarga dan saudara-mara, sekali gus memberi tekanan kepada sistem pengangkutan yang rapuh.

Pada 18 Mac, kira-kira 66 orang cedera apabila kereta api Nilsagar Express, laluan utama di utara Bengal, tergelincir di kawasan Bagbaria di daerah Bogra.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video