Skip to main content

Bisnes

TERAJU sebagai nadi pemerkasaan Bumiputera di bawah kerangka PuTERA35

Sumber: Astro AWANI
Menurut Muhaimin, elemen komitmen dua hala antara TERAJU dan syarikat adalah faktor utama kejayaan program, kerana bantuan sahaja tidak mencukupi tanpa kesediaan syarikat untuk berubah dan berkembang.

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terus memperkukuh peranannya sebagai penggerak utama dalam pelaksanaan agenda pemerkasaan Bumiputera di bawah kerangka PuTERA35, dengan menekankan pendekatan kolaborasi strategik dan program berimpak tinggi yang berasaskan pelaksanaan sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, berkata peranan TERAJU bukan terhad sebagai pelaksana program semata-mata, tetapi turut bertindak sebagai penyelaras, pelapor dan pemberhacara kepada pelbagai inisiatif merentas agensi.

“Di dalam kerangka PuTERA35, peranan TERAJU adalah sebagai penggerak utama. Pada masa yang sama, kita berfungsi sebagai penyelaras dan pelapor melalui kolaborasi strategik bersama agensi bermandat Bumiputera serta agensi lain yang berkepentingan,” jelas beliau.

Menurutnya, kolaborasi strategik ini menjadikan TERAJU sebagai pusat atau nadi kepada kesinambungan usaha pembangunan Bumiputera, memastikan inisiatif yang dilaksanakan tidak bersifat silo, sebaliknya saling melengkapi.

TERAJU turut menawarkan pelbagai program dalam bentuk bantuan langsung, penganjuran, serta pemudah cara bagi membolehkan syarikat-syarikat turut menyumbang secara aktif. Namun, pendekatan yang memberi fokus kepada pelaksanaan (implementation) dilihat sebagai elemen paling kritikal dalam menjamin keberkesanan program.

Pandangan ini turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Perancangan Strategik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Mohammad Muhaimin Aminuddin, yang menyifatkan pendekatan bimbingan oleh TERAJU sebagai jauh lebih berkesan berbanding latihan bersifat teori semata-mata.

"Latihan memang bagus untuk pembelajaran. Tapi cabaran sebenar adalah bagaimana ilmu itu diaplikasikan dalam syarikat. Program mentorship TERAJU membantu kami memahami isu dalaman dan membina jambatan antara teori dengan realiti perniagaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Elevate Program anjuran TERAJU yang memberi pendedahan dan bimbingan secara berterusan ke arah persediaan penyenaraian awam (IPO).

“Program ini bukan sekadar mengajar, tetapi mengajar kami untuk buat. Ada constant follow-up yang memastikan pelaksanaan bergerak. Ia memaksa syarikat untuk memberi komitmen dan berkembang,” jelasnya.

Menurut Muhaimin, elemen komitmen dua hala antara TERAJU dan syarikat adalah faktor utama kejayaan program, kerana bantuan sahaja tidak mencukupi tanpa kesediaan syarikat untuk berubah dan berkembang.

Pendekatan bersepadu yang menggabungkan latihan, mentorship, pelaksanaan dan kolaborasi strategik ini dilihat selari dengan aspirasi PuTERA35 untuk melahirkan ekosistem keusahawanan Bumiputera yang lebih berdaya saing, mampan dan bersedia ke peringkat global.

Mereka berkata demikian dalam program PuTERA35.

 

Must Watch Video