KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mentransformasikan fungsi kewangannya sebagai pemacu pembangunan bakat dan kerjasama perniagaan.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) TNB Badrulhisyam Fauzi berkata strategi sedemikian yang memberi tumpuan kepada kewangan adalah penting untuk memastikan masa depan tenaga Malaysia dibina berdasarkan asas daya tahan fiskal.
Beliau melalui hantaran di media sosial baru-baru ini berkata transformasi berkenaan adalah tindak balas langsung terhadap skala peralihan tenaga dan pengurusan pelaburan modal berjumlah RM43 bilion yang dirancang.
Evolusi kewangan iaitu daripada peranan tradisional kepada pengaruh strategik adalah tema utama yang dikongsi oleh Badrulhisyam pada Persidangan CFO 2026, yang menjadi acara penting bagi pemimpin kewangan untuk mendapatkan pandangan dan peluang jaringan.
Beliau menekankan bahawa dalam landskap baharu ini, fungsi kewangan menjadi paksi dalam strategi organisasi, dengan kalangan CFO pada masa ini mengutamakan pembangunan bakat.
Walaupun automasi dan kecerdasan buatan boleh menjadikan pasukan kewangan lebih produktif sehingga tiga kali ganda, katanya kepimpinan, tadbir urus dan wawasan strategik yang kukuh tetap penting dalam membina pasukan yang bersedia untuk masa hadapan yang mampu menyokong keputusan yang kompleks.
Badrulhisyam berkata TNB sedang meningkatkan perubahan ini melalui tumpuan berstruktur terhadap teknologi, kecekapan komersial dan kerjasama yang mendalam.
Melalui langkah mewujudkan budaya keberanian digital dan keselamatan psikologi, profesional kewangan boleh berperanan sebagai rakan perniagaan sebenar yang mampu mengkaji semula pandangan sedia ada dan memberikan pandangan serta-merta yang boleh dimanfaatkan untuk membuat keputusan.
Dengan kedudukan yang kukuh dalam kepimpinan, CFO dan fungsi kewangannya terus berperanan untuk memacu pertumbuhan mampan dan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
NETR menyasarkan untuk mengubah Malaysia kepada ekonomi rendah karbon menjelang 2050, dengan menumpukan kepada kecekapan tenaga, TBB, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.
“Dengan menghubungkan kecemerlangan teknikal dengan visi strategik, kami memberikan nilai berterusan kepada negara dan pemegang saham kami dan pada masa sama memastikan masa depan tenaga Malaysia dibina melalui asas daya tahan fiskal,” kata Badrulhisyam.
-- BERNAMA