PUTRAJAYA: Krisis bekalan global yang tercetus susulan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian perdagangan antarabangsa kini tidak lagi terhad kepada pasaran dunia, sebaliknya mula dirasai secara langsung oleh rakyat Malaysia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kesan krisis tersebut jelas berpindah ke peringkat domestik melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik, harga barangan keperluan serta perbelanjaan harian rakyat.
Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan negara kini berada dalam fasa baharu pengurusan impak krisis, iaitu peralihan daripada kejutan luaran kepada penyesuaian kos domestik yang semakin nyata.
“Dengan kata lain, rakyat kini sedang berhadapan dengan fasa penyesuaian kos yang semakin ketara, dan sebab itu tindak balas Kerajaan perlu jujur, cepat dan tepat berasaskan data semasa,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global pada Selasa.
Data rasmi terkini menyokong gambaran tersebut apabila Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mac 2026 menunjukkan inflasi meningkat kepada 1.7 peratus, berbanding 1.4 peratus pada Februari lalu.
Peningkatan itu dipacu terutamanya oleh kumpulan pengangkutan yang melonjak kepada 1.6 peratus, berbanding penguncupan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, selari dengan kenaikan harga bahan api.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan purata harga diesel di Semenanjung meningkat kepada RM4.09 seliter berbanding RM2.98 pada Februari, manakala harga RON97 naik kepada RM4.01 berbanding RM3.11.
Akmal berkata, kenaikan kos tenaga tersebut memberi kesan berantai kepada sektor logistik dan pengedaran, sebelum akhirnya diterjemahkan dalam harga barangan di peringkat pengguna.
Di peringkat runcit, beliau berkata, pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi pertengahan April menunjukkan pergerakan yang bercampur, antaranya harga ayam standard meningkat hampir tiga peratus, manakala sayur seperti sawi turut mencatatkan kenaikan.
Namun, katanya lagi, terdapat juga item yang mencatatkan penurunan harga seperti daging lembu dan ikan kembung, sekali gus menunjukkan tekanan kos tidak berlaku secara seragam, sebaliknya dipengaruhi faktor input, cuaca dan kos pengangkutan.
Walaupun tekanan kos semakin ketara, Akmal berkata asas ekonomi negara masih menunjukkan daya tahan, dengan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 diunjurkan berkembang 5.3 peratus, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Namun, beliau menegaskan prestasi tersebut tidak wajar ditafsir sebagai petanda risiko telah reda.
“Impak sebenar krisis lazimnya mengambil sedikit masa untuk sampai sepenuhnya kepada ekonomi domestik menerusi kos import, keputusan pelaburan dan sentimen pengguna,” katanya.
Akmal berkata, situasi tersebut menjadikan tempoh suku kedua 2026 sebagai fasa kritikal untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat akan diterjemahkan kepada pengurangan operasi atau peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, Akmal menekankan bahawa tindak balas kerajaan tidak boleh bersifat umum atau reaktif semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan data semasa, bersasar mengikut sektor dan cukup pantas untuk mengekang limpahan kos kepada rakyat.
Antara langkah yang sedang digerakkan termasuk usaha menjamin dan meregang bekalan, mengekang kenaikan harga serta memperkukuh kerjasama dua hala bagi memastikan akses kepada input strategik seperti tenaga, bahan pertanian dan komponen industri kritikal.
Isu tenaga dan kos, katanya, tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai masalah harga, sebaliknya sebagai isu daya tahan ekonomi, keselamatan bekalan dan keupayaan negara menyesuaikan diri dengan kejutan luaran.