SEPANG: Kejayaan Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini tidak dibina dalam sekelip mata, sebaliknya hasil usaha kolektif ribuan warga kerja yang mengharungi sedekad penuh cabaran, dipandu oleh disiplin, ketahanan dan kepimpinan berterusan di semua peringkat organisasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar, berkata, fasa seterusnya Malaysia Airlines akan berteraskan kesinambungan strategi, kekuatan modal insan serta keupayaan organisasi untuk kekal relevan dalam industri penerbangan global yang semakin mencabar.
“Apa yang dicapai hari ini adalah hasil kerja berpasukan seluruh warga MAG.
“Tanggungjawab kepimpinan kini adalah memastikan asas yang telah dibina ini terus diperkukuh dan dikembangkan,” katanya.
Beliau menegaskan, transformasi MAG bukan sekadar pemulihan kewangan, tetapi perubahan menyeluruh melibatkan budaya kerja, disiplin operasi dan kejelasan hala tuju jangka panjang.
MAG mula melalui proses penstrukturan semula secara menyeluruh sejak 2017, ketika kumpulan itu berdepan liabiliti mencecah RM25.7 bilion, aliran tunai negatif serta tahap keyakinan pasaran dan moral kakitangan yang rendah.
Bekas Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail sebelum ini menjelaskan, keutamaan ketika itu adalah menstabilkan kewangan, menyatukan organisasi dan membina semula kepercayaan pasaran.
“Ia merupakan laluan yang sangat mencabar, namun perlu dilalui demi kelangsungan syarikat,” katanya dalam kenyataan terdahulu.
Pendekatan berdisiplin itu kini diteruskan sebagai teras kepada hala tuju MAG.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan, Bryan Foong Chee Yeong berkata, pemulihan MAG disokong oleh keputusan strategik untuk kembali kepada identiti teras Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, dengan penekanan kepada kebolehpercayaan dan pengalaman pelanggan.
“Kami membina semula dari asas, bukan sahaja dari sudut kewangan, tetapi juga produk dan pengalaman penumpang,” katanya.
Walaupun saiz armada hari ini lebih kecil berbanding era terdahulu, MAG memanfaatkan kerjasama strategik antarabangsa untuk menawarkan akses ke lebih 1,100 destinasi global, sekali gus meningkatkan sumbangan hasil antarabangsa kepada hampir 90 peratus.
Dalam industri penerbangan yang mencatat margin keuntungan tipis sekitar satu hingga 1.5 peratus di rantau ASEAN, MAG mengakui kebergantungan kepada perniagaan penumpang semata-mata tidak lagi mampan.
Melalui Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0), MAG menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan masa hadapan datang daripada segmen bukan penerbangan, termasuk kargo, penyelenggaraan dan pembaikan pesawat (MRO), pengendalian darat serta katering.
Pandemik COVID-19 menjadi pengajaran penting kepada kumpulan itu mengenai keperluan membina daya tahan perniagaan.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesetiaan dan Pelancongan, Philip See Yew Jin berkata, kelestarian perlu dilihat secara menyeluruh, merangkumi dimensi ekonomi, sosial, tadbir urus dan operasi.
“Penerbangan adalah sektor yang mencabar dari sudut penyahkarbonan, namun kami memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan penggunaan pesawat generasi baharu,” katanya.
Pengenalan pesawat Boeing 737-8 dan A330neo bukan sahaja menyokong pengurangan pelepasan karbon, malah meningkatkan keselesaan penumpang dan daya saing jenama Malaysia Airlines.
Dalam persekitaran global yang tidak menentu, MAG melihat rantau ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang, disokong oleh kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah rantau berkenaan.
Kapten Nasaruddin berkata, tumpuan akan diberikan kepada rangkaian serantau dan pasaran berpotensi tinggi seperti India, yang berfungsi sebagai penghubung penting ke Australia dan New Zealand.
Di sebalik strategi dan pelaburan, MAG menegaskan bahawa kekuatan sebenar organisasi terletak pada manusianya.
Dengan lebih 14,000 kakitangan ketika ini, MAG menyasarkan pertumbuhan armada kepada sekitar 116 pesawat dalam tempoh lapan tahun , sejajar dengan sasaran menggandakan hasil kepada hampir RM25 bilion pada 2030.
“Transformasi ini tidak akan berjaya tanpa kepimpinan di setiap peringkat dan komitmen warga kerja. Itulah aset paling penting MAG,” kata Kapten Nasaruddin.
Beliau berkata demikian dalam dokumentari khas Niaga AWANI pada Januari lalu.
https://youtu.be/5Iy3Jzk98yw?si=pnsCAp2OsxZRUebi