Skip to main content

Bisnes

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan sentimen risiko bertambah baik

71746260300_wangringgitgaji.jpg
Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat dan sekumpulan mata wang utama pada hari Rabu susulan sentimen risiko bertambah baik berikutan rundingan gencatan senjata berpotensi diadakan antara Amerika Syarikat dan Iran. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekumpulan mata wang utama pada hari Rabu susulan sentimen risiko bertambah baik berikutan rundingan gencatan senjata berpotensi diadakan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9400/9500 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit sepatutnya mula bergerak ke arah positif jika naratif gencatan senjata berlanjutan kerana ia menandakan bahawa Washington sedang beralih daripada de-eskalasi taktikal kepada mengadakan dialog yang lebih serius dengan Tehran.

Beliau berkata, persoalan utama masih kekal sama ada Iran akan terlibat sepenuhnya, memandangkan Presiden AS, Donald Trump terus memperkukuh kehadiran tentera dengan tambahan pasukan dan peralatan.

"Buat masa ini, pasaran kekal sebagai pasaran dipacu oleh tajuk utama di mana perubahan kedudukan adalah reaktif dan bukannya didorong oleh keyakinan, tetapi ia tidak mungkin melihat peningkatan yang berterusan atau kenaikan paras baharu sehingga ada sesuatu lebih ketara daripada retorik.

"Dalam erti kata lain, pasaran mungkin telah mengambil kira janji perdamaian tersebut, namun ia tidak akan memberikan komitmen sepenuhnya sehinggalah perjanjian ditandatangani secara rasmi dan gencatan senjata itu berubah menjadi sesuatu yang berkekalan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd, Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan di Asia Barat terus menjadi tumpuan utama ketika perang di Iran memasuki minggu keempat.

Beliau berkata, isyarat yang bertentangan daripada Washington mengenai menamatkan peperangan masih bercampur-campur, walaupun lebih ramai tentera dikerahkan ke rantau berkenaan.

"Perang yang berterusan di Iran juga telah menyebabkan harga bahan api melonjak naik yang boleh meningkatkan tekanan inflasi. Ini telah menjejaskan kuasa beli dalam kalangan pengguna, menyebabkan mereka menyemak semula perbelanjaan peribadi mereka," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, petunjuk tinjauan seperti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk Mac 2026 adalah lemah terutamanya dalam industri berorientasikan perkhidmatan.

Beliau berkat, indeks PMI perkhidmatan untuk Australia merosot kepada 46.6 mata pada Mac daripada 52.8 mata sebelumnya, begitu juga di Jepun, India, Perancis, Jerman, United Kingdom dan AS semuanya susut pada Mac.

"Selain itu, Indeks Dolar AS (DXY) kekal di bawah 100 mata pada 99.43 mata kerana peniaga dan pelabur bimbang mengenai tempoh perang dan kesan buruk yang mungkin berlaku terhadap pertumbuhan dan inflasi global," katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4825/4890 daripada 2.4916/4954 ketika ditutup pada Selasa, menokok berbanding pound Britain kepada 5.2851/2985 daripada 5.2982/3056 dan naik berbanding euro kepada 4.5759/5875 daripada 4.5835/5899 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0839/0922 daripada 3.0909/0955, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1234/1613 daripada 12.1373/1613, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 233.1/233.8 daripada 233.9/234.3 ketika ditutup pada Selasa dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.57/6.59 daripada 6.59/6.61 sebelum itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video