KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama hari ini, namun susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pelabur kekal berhati-hati terhadap rundingan berterusan antara AS dan Iran.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu susut kepada 3.9670/9770 berbanding dolar AS pada paras 3.9660/9705 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidaktentuan berkaitan konflik di Iran terus mempengaruhi sentimen pasaran walaupun pasaran ekuiti utama global, termasuk di AS, mencatat paras tertinggi baharu.
“Petunjuk daripada kedua-dua pihak dilihat tidak konsisten. Agensi berita rasmi Iran dilihat memberi gambaran bahawa rundingan berjalan lancar.
“Namun, Presiden AS Donald Trump masih menunjukkan pendirian tegas, khususnya menerusi kenyataannya mengenai Selat Hormuz bahawa tiada mana-mana negara sepatutnya mengawal laluan itu,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, katanya, pasaran turut bimbang terhadap peningkatan inflasi yang berpotensi mendorong Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah, manakala prestasi pendapatan korporat yang positif dan optimisme terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) terus menyokong sentimen pasaran.
Bagi penanda aras utama harga minyak dunia, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 1.40 peratus kepada US$89.92 setong, manakala minyak mentah Brent susut 5.31 peratus kepada US$94.29 setong.
Indeks Dolar AS (DXY) pula berada sekitar 99.21 mata, meningkat sedikit sebanyak 0.04 peratus.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan gandingan ringgit-dolar AS diniagakan sekitar RM3.95 hingga RM3.97 hari ini,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4859/4925 daripada 2.4917/4947 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6089/6205 daripada 4.6172/6225 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3217/3351 daripada 5.3470/3530 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1445/1818 daripada 12.1485/1675 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1041/1121 daripada 3.1038/1075.
Ringgit pula diniagakan tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia masing-masing pada 6.44/6.46 dan 222.8/223.5.
-- BERNAMA