KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif khas di bawah Bank Negara sebanyak RM5 bilion bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia menjadi inisiatif tambahan kepada peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan pada Isnin, sebagai langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lebih banyak syarikat kecil, khususnya dalam sektor logistik, pertanian dan pembinaan, terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Penambahan peruntukan ini bagi membolehkan lebih ramai pengusaha PMKS mendapat akses kepada pembiayaan.
“Perincian inisiatif ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas sesi meja bulat bersama institusi kewangan, pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri: “Bantuan ini mesti sampai kepada kumpulan sasaran termasuk pekebun kecil, nelayan, penjaja dan pengusaha perusahaan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat,” katanya.
Mengenai SJPP, Anwar memaklumkan terdapat beberapa perkara yang memerlukan perhatian dan akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri untuk tindakan.
“Kepantasan dalam situasi ini amat mustahak dan saya akan pastikan tiada kerenah birokrasi yang melambatkan proses,” katanya.