KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM10 bilion bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia sebagai tambahan kepada peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan pada Isnin, sebagai langkah segera bagi meringankan tekanan perniagaan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lebih banyak syarikat kecil, khususnya dalam sektor logistik, pertanian dan pembinaan, terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Penambahan peruntukan SJPP daripada RM5 bilion kepada RM10 bilion bagi membolehkan lebih ramai PMKS mendapat akses kepada pembiayaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi meja bulat bersama institusi kewangan, pada Selasa.
Menurut Perdana Menteri, penambahbaikan turut melibatkan peningkatan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus serta lanjutan tempoh pembiayaan daripada tujuh kepada 10 tahun.
“Bantuan ini mesti sampai kepada kumpulan sasaran termasuk pekebun kecil, nelayan, penjaja dan pengusaha perusahaan kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat,” katanya.
Tambah Anwar lagi, terdapat beberapa perkara mengenai SJPP yang memerlukan perhatian dan akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri untuk tindakan.
“Kepantasan dalam situasi ini amat mustahak dan saya akan pastikan tiada kerenah birokrasi yang melambatkan proses,” katanya.