Skip to main content

Bisnes

MyCEB perkukuh kedudukan Malaysia di pasaran APAC

MyCEB
Platform Connect Marketplace Hong Kong memberi peluang kepada Malaysia untuk berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan utama industri acara perniagaan. - Foto MyCEB

HONG KONG: Malaysia terus memperkukuh langkahnya dalam industri acara perniagaan antarabangsa apabila Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) memulakan penglibatan global bagi tahun 2026 menerusi penyertaan di Connect Marketplace Hong Kong 2026.

Acara yang berlangsung pada 18 sehingga 19 Mac di AsiaWorld-Expo, Hong Kong, China itu menandakan penyertaan sulung MyCEB dalam platform berkenaan, selaras dengan fokus strategik untuk memperluas kehadiran Malaysia di pasaran China serta rantau Asia Pasifik.

Platform Connect Marketplace Hong Kong memberi peluang kepada Malaysia untuk berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan utama industri acara perniagaan, termasuk perancang acara korporat dan persatuan antarabangsa yang sedang mencari destinasi bagi penganjuran mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran.

Selain menjadi medan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan, penyertaan ini turut memberi ruang untuk menampilkan keupayaan negara daripada segi infrastruktur konvensyen dan pameran, penawaran destinasi serta kepakaran industri tempatan.

Image
MyCEB
MyCEB memantapkan lagi rangkaian perniagaan bersama pemain industri dari rantau Asia Pasifik, di samping menjana prospek perniagaan menerusi sesi pertemuan secara bersemuka. - Foto MyCEB

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya dalam pasaran serantau.

“Penyertaan kami di Connect Marketplace Hong Kong mencerminkan komitmen untuk memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran China dan Asia Pasifik. 

“Platform ini membolehkan kami berinteraksi secara langsung dengan pembeli, sekaligus memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara perniagaan berkualiti tinggi,” katanya.

Melalui penglibatan dalam acara tersebut, MyCEB turut berpeluang mengukuhkan rangkaian perniagaan bersama pemain industri dari rantau Asia Pasifik, di samping menjana prospek perniagaan menerusi sesi pertemuan secara bersemuka.

Penyertaan tersebut juga membuka ruang kepada delegasi Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama baharu serta mendapatkan pendedahan kepada trend semasa dan amalan terbaik dalam industri acara perniagaan global.

Delegasi Malaysia ke Connect Marketplace Hong Kong 2026 turut disertai beberapa rakan industri utama, termasuk Golden Point Leisure & MICE Holiday Sdn. Bhd., Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Marriott International – Malaysia, Penang Convention & Exhibition Bureau, Sunway Resort Hotel serta Brand Day (Malaysia).

Connect Marketplace Hong Kong 2026 menghimpunkan lebih 60 pempamer daripada lebih 30 negara dan wilayah bersama kira-kira 450 pembeli yang dijemput khas. 

Sepanjang acara tersebut, lebih daripada 2,800 sesi temu janji perniagaan dijangka berlangsung dengan penyertaan lebih daripada 4,000 profesional industri dari seluruh dunia.

Image
MyCEB
Sesi perkongsian, bertukar pandangan dan saling mengenali antara satu sama lain menjadi babak paling penting untuk MyCEB meneguhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan di rantau Asia Pasifik. - Foto MyCEB

Penyertaan MyCEB dalam acara ini sekaligus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi acara perniagaan yang kompetitif di rantau Asia Pasifik.

Untuk maklumat lanjut, layari www.myceb.com.my atau ikuti MyCEB di Facebook, X (Twitter) dan Instagram menerusi akaun @MyCEB.

 

Must Watch Video