Skip to main content

Bisnes

MyCEB Association Day 2026 perkasa ekosistem Acara Perniagaan negara

MyCEB Association Day 2026
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata Association Day 2026 membuka ruang bernilai kepada pemimpin untuk bertukar pandangan serta memantapkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada pembangunan industri. - Foto MyCEB

PETALING JAYA: Dalam usaha memastikan Malaysia terus kompetitif di pentas antarabangsa, Malaysia Convention & Exhibition Bureau menghimpunkan pemimpin persatuan, pembuat dasar dan pemain industri menerusi penganjuran MyCEB Association Day 2026.

Program yang memasuki edisi kelima sejak 2022 ini menjadi platform penting untuk memperkasa kerjasama strategik serta meneroka peluang baharu dalam menarik lebih banyak acara antarabangsa ke Malaysia.

Mengangkat tema “Governing with Purpose. Leading with Impact”, program ini menekankan keperluan kepimpinan yang bukan sahaja berfungsi secara struktural, tetapi juga mampu memberi impak nyata kepada kelangsungan dan daya saing persatuan dalam landskap global yang semakin mencabar.

Sepanjang program, pelbagai sesi perbincangan dan perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada tadbir urus, strategi kepemimpinan serta pendekatan memperkukuh peranan persatuan sebagai pemangkin pembangunan industri.

Image
MyCEB Association Day 2026
Sesi perbincangan yang mengumpulkan pelbagai pemimpin persatuan, pembuat dasar dan pemain industri menjadi antara momen penting pada Majlis MyCEB Association Day 2026. - Foto MyCEB

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing dalam ucapannya menegaskan bahawa tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan berkesan menjadi asas penting untuk memastikan persatuan kekal relevan dan berdaya tahan.

Menurut beliau, platform seperti Association Day membuka ruang bernilai kepada pemimpin untuk bertukar pandangan serta memantapkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada pembangunan industri.

“Tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan yang berkesan adalah penting untuk memastikan persatuan kekal relevan dan berdaya tahan.

“Platform seperti Association Day menyediakan ruang yang bernilai untuk pemimpin bertukar pandangan dan mengukuhkan peranan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan industri.

“Persatuan bukan sekadar komuniti profesional, tetapi mereka adalah pemangkin kemajuan yang menghubungkan kepakaran, memacu inovasi dan membentuk piawaian industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis MyCEB Association Day 2026, di sini, pada Rabu.

Image
MyCEB Association Day 2026
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot ketika berucap menekankan Acara Perniagaan menjadi salah satu tulang belakang penting dalam mengangkat kedudukan Malaysia di peringkat global. - Foto MyCEB

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot menyifatkan penganjuran program ini sebagai cerminan komitmen bersama di antara kerajaan dan industri dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama Business Events atau Acara Perniagaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa industri Acara Perniagaan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan pengetahuan serta melonjakkan kedudukan global negara.

“Platform penting ini menghimpunkan pemimpin persatuan dan industri Business Events (Acara Perniagaan) sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dan memajukan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama Business Events (Acara Perniagaan).

“Industri Business Events (Acara Perniagaan) terus memainkan peranan kritikal dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, pembangunan pengetahuan dan kedudukan global negara,” jelasnya.

Menutup acara, Pengerusi MyCEB, V. Sivakumar, menekankan bahawa kepimpinan tidak lagi diukur berdasarkan jawatan semata-mata, tetapi melalui nilai yang dicipta, hubungan yang dibina serta legasi yang ditinggalkan.

Menurut Sivakumar, kejayaan masa depan industri ini bergantung kepada kekuatan kerjasama, kepercayaan dan aspirasi yang dikongsi dalam kalangan semua pihak berkepentingan bagi membuka lebih banyak peluang dan mencipta impak berpanjangan.

“Kepimpinan bukan sekadar ditentukan oleh jawatan, tetapi oleh nilai yang kita cipta, hubungan yang kita bina dan legasi yang kita tinggalkan.

“Melalui kerjasama, kepercayaan bersama dan aspirasi yang dikongsi, kita mampu membuka lebih banyak peluang dan mencipta impak yang berkekalan," katanya.

Image
MyCEB Association Day 2026
Peserta yang hadir juga dimanjakan dengan minuman kopi kegemaran ramai. Foto MyCEB

Sejak penubuhannya, MyCEB telah berjaya menarik 3,575 Acara Perniagaan antarabangsa dengan kehadiran lebih 4.54 juta delegasi, sekaligus menjana impak ekonomi sebanyak RM26.8 bilion.

Melalui inisiatif seperti MyTripleE 3.0 dan Program Kesatria Malaysia, MyCEB terus komited untuk memangkin daya saing negara selari dengan agenda Visit Malaysia 2026 dalam usaha menarik pelawat bernilai tinggi sekaligus memperluas jaringan global Malaysia dalam industri Acara Perniagaan.

Must Watch Video