Skip to main content

Bisnes

Marriott kembang pelaburan di Malaysia, hotel Tribute Portfolio bakal dibuka di Bertam

mou Marriot & The Bertam… kredit The Bertam
Dari kiri Andree Susilo, Reezal Merican, Wong Hon Wai dan Mohamed Iqbal pada majlis menandatangani perjanjian antara The Bertam Penang dan Marriott International di Bertam, Kepala Batas, pada Selasa.

KEPALA BATAS: Marriott International Inc. memeterai perjanjian untuk pembukaan The Bertam, Penang, sebuah hotel di bawah jenama Tribute Portfolio, sekali gus menandakan peluasan baharunya ke tanah besar Pulau Pinang.

Hotel dengan penjenamaan baharu yang dijangka bermula pada suku keempat 2026 itu menampilkan 282 bilik dan dibangunkan menerusi kerjasama dengan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd.

Terletak di Bertam, Seberang Perai Utara, kira-kira 25 kilometer dari Butterworth dan 40 kilometer dari George Town, kawasan tersebut merupakan antara koridor pembangunan pesat yang disokong pertumbuhan industri dan pembangunan gaya hidup bersepadu. 

Lokasinya turut mendapat manfaat daripada rangkaian lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, serta kedudukannya yang hampir dengan hab ekonomi penting seperti Kulim Hi-Tech Park dan Taman Perindustrian Batu Kawan.

Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik (tidak termasuk China), Marriott International, Andree Susilo berkata, kerjasama itu mencerminkan visi bersama untuk membawa pengalaman hospitaliti beridentiti unik ke destinasi sedang membangun.

“Penandatanganan ini merupakan tambahan bermakna kepada portfolio Marriott di Malaysia. Ia membolehkan kami memenuhi keperluan pelancong perniagaan dan percutian yang semakin berkembang, di samping menyokong pertumbuhan berterusan kami di pasaran berpotensi tinggi di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tribute Portfolio Hotels merupakan antara jenama koleksi Marriott yang menghimpunkan hotel-hotel bebas berkarakter dengan fokus terhadap reka bentuk menarik serta suasana sosial yang bertenaga untuk tetamu dan komuniti setempat.

The Bertam, Penang, Tribute Portfolio Hotel akan melibatkan penjenamaan semula sebuah resort lima bintang sedia ada, Bertam Resort, yang dibuka pada Mac 2023.

Resort berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Bertam Resort & Water Park Penang seluas 20 ekar.

Hotel itu dijangka mendapat manfaat daripada kedudukannya yang hampir dengan pusat industri di Butterworth dan Kedah, selain institusi pendidikan serta kemudahan kesihatan, sekali gus memposisikannya sebagai destinasi pelbagai segmen.

Apabila menyertai portfolio Tribute Portfolio, hotel berkenaan juga dijangka menawarkan ruang acara seluas hampir 3,000 meter persegi, termasuk sebuah dewan utama, beberapa bilik mesyuarat berskala kecil dan ruang acara khas, menjadikannya lokasi berpotensi untuk segmen mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di tanah besar utara Pulau Pinang.

Kemudahan sedia ada turut merangkumi beberapa kolam gaya resort, pusat kecergasan, pelbagai pilihan sajian, kelab kanak-kanak serta ruang gaya hidup seperti lounge dan bilik karaoke.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu berkata, kerjasama dengan Marriott International merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan Bertam sebagai destinasi hospitaliti.

“Transformasi Bertam Resort kepada hotel Tribute Portfolio membolehkan kami memanfaatkan rangkaian pengedaran global Marriott, sambil mengekalkan karakter unik hartanah ini. Kami percaya ia akan membuka peluang baharu dan meningkatkan daya tarikan Bertam sebagai hab bagi pelancong perniagaan dan percutian,” katanya.

Hadir sama pada majlis menandatangani perjanjian itu semalam ialah Exco Pelancongan & Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Must Watch Video