Skip to main content

Malaysia

DBKL kenal pasti langkah awal mitigasi banjir, cadang kawasan takungan air setempat

KUALA LUMPUR, 15 April -- Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, ketika menjawab pertanyaan pengamal media berkaitan tambahan kawasan lapang dan hijau yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Desa Ria, Taman Desa hari ini.a hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, lawatan berkenaan bertujuan melihat secara langsung keadaan tapak serta mengenal pasti langkah-langkah awal yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko banjir. - Foto/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan lawatan tapak di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur bagi menilai langkah mitigasi banjir, termasuk keperluan perlindungan awal sekiranya berlaku hujan lebat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata lawatan berkenaan bertujuan melihat secara langsung keadaan tapak serta mengenal pasti langkah-langkah awal yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko banjir.

“Kita telah pergi melakukan lawatan tapak, terutamanya untuk melihat aspek perlindungan mitigasi banjir. Ia juga penting untuk kita kenal pasti langkah awal yang perlu diambil sekiranya berlaku hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan Sijil Pemilikan Unit Kediaman Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut beliau, hasil dapatan lawatan itu turut mencadangkan pewujudan satu kawasan khusus yang boleh digunakan untuk pelaksanaan on-site detention (kawasan takungan air setempat) bagi tujuan kawalan air larian permukaan.

“Kita mencadangkan supaya ada satu kawasan yang dapat dikenal pasti dan diambil bagi on-site detention bagi memastikan air larian, terutama di kawasan terlibat dapat dikawal dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan antara penemuan utama hasil penilaian yang dilakukan DBKL bagi meningkatkan keupayaan pengurusan banjir di ibu negara.

Selasa lalu, penduduk sekitar Kampung Bukit Lanjan, Kuala Lumpur melahirkan rasa bimbang dan risau dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kediaman mereka.

Rata-rata mereka menyatakan kejadian berkenaan pertama kali berlaku di kawasan itu, terutama sejak sebahagian kawasan hutan di sana berubah menjadi kebun.

Turut tular mengenai foto memaparkan kejadian tanah runtuh berlaku di kawsasan itu susulan hujan lebat yang melanda pada Isnin.

Must Watch Video