Skip to main content

Bisnes

INSKEN bimbing usahawan Sabah, Sarawak mengikut keperluan tempatan

Sumber: Astro AWANI
Perkongsian ini dibuat sempena program PuTERA35n yang menjadi platform untuk membincangkan pendekatan bimbingan usahawan, kolaborasi industri, dan strategi pembangunan ekosistem perusahaan.

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan potensi perusahaan, tetapi faktor geografi yang luas, kos logistik yang tinggi, dan jarak yang jauh menjadi antara cabaran utama bagi pembangunan usahawan di kedua-dua negeri ini.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Pemerkasaan Ekosistem & Pengantarabangsaan INSKEN, Fais Azlan Che Hamzah, pendekatan bimbingan bagi usahawan tempatan menekankan adaptasi modul mengikut keperluan lokaliti.

“Kami di INSKEN sedar antara cabaran utama di Sabah dan Sarawak adalah faktor geografi. Kedua-dua negeri ini boleh dikatakan besar dan daripada situ kita melihat cabaran seperti kos, rantaian bekalan, dan jarak itu sendiri. 

"Jadi, kita melaksanakan program bimbingan menggunakan "industri coach" yang terdiri daripada pemain industri dari Sabah dan Sarawak sendiri, kerana mereka faham keadaan dan pasaran tempatan. Modul yang diberikan kepada setiap usahawan dapat diadaptasikan mengikut keperluan lokaliti,” jelasnya.

Fais juga menekankan bahawa pendekatan ini mengambil kira perbezaan antara bandar dan luar bandar, serta kesan faktor jarak terhadap operasi perniagaan dan rantaian bekalan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Raya Khas, Yusuf Roy Fitri Mohamad Johny menegaskan bahawa ilmu perusahaan boleh diaplikasikan merentasi pelbagai industri.

“Macam contohnya agensi seperti INSKEN, mereka memanggil individu yang mempunyai latar belakang perniagaan. Walaupun daripada industri yang berbeza, ilmu ini boleh membantu kerana konsep ilmu dalam perusahaan tidak terhad kepada satu industri sahaja. Ia boleh digunapakai untuk industri lain juga jika kita tahu cara mengaplikasikannya,” katanya.

Langkah ini diharap dapat membantu usahawan tempatan meningkatkan kemahiran dan daya saing, sambil menyesuaikan strategi perniagaan mereka dengan realiti unik tempatan.

Perkongsian ini dibuat sempena program PuTERA35n yang menjadi platform untuk membincangkan pendekatan bimbingan usahawan, kolaborasi industri, dan strategi pembangunan ekosistem perusahaan. 

Must Watch Video