Skip to main content

Bisnes

Helios Solar AG sasar dana EUR27 juta melalui IPO Frankfurt

Helios logo_Helios
Jelas Thuan Ming, syarikat itu melihat prospek pertumbuhan yang positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui berikutan peningkatan permintaan global terhadap sumber tenaga bersih, khususnya di Eropah. - Gambar HELIOS SOLAR AG

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga boleh diperbaharui berpangkalan di Jerman, Helios Solar AG, mengumumkan rancangan untuk melaksanakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran Terkawal (General Standard) Bursa Saham Frankfurt bagi mempercepatkan agenda pengembangan global dan memperkukuhkan kedudukannya dalam industri tenaga solar antarabangsa.

Langkah strategik itu dijangka membuka akses lebih luas kepada pasaran modal Eropah, selain meningkatkan keupayaan kewangan syarikat dalam membiayai pelbagai projek tenaga solar di pasaran utama dunia.

Di bawah pelan penyenaraian tersebut, Helios Solar AG menawarkan sehingga 7.6 juta saham pada harga EUR4.00 sesaham. Tempoh langganan dijadual berlangsung dari 22 Jun hingga 6 Julai 2026, manakala dagangan pertama saham syarikat di Bursa Frankfurt dijangka bermula pada 28 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Helios Solar AG, Datuk Ong Thuan Ming berkata, IPO itu merupakan satu titik penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat dan akan menjadi pemangkin kepada peluasan operasi di peringkat antarabangsa.

“Penyenaraian di Bursa Saham Frankfurt bukan sahaja mengukuhkan kredibiliti syarikat di peringkat global, malah menyediakan platform yang lebih kukuh untuk mempercepatkan pertumbuhan serta memperluaskan penyelesaian tenaga solar inovatif ke lebih banyak pasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Melalui tawaran tersebut jelasnya, syarikat menjangkakan hasil bersih sekitar EUR26.9 juta sekiranya keseluruhan saham yang ditawarkan berjaya dilanggan.

"Sebahagian besar dana berkenaan, iaitu 58.8 peratus, akan disalurkan bagi memperluaskan operasi di Malaysia termasuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Public Islamic Bank Berhad dan Boost Bank Berhad serta menubuhkan Pusat Latihan dan Inovasi bagi menyokong pembangunan bakat dan teknologi tenaga hijau.

"Sementara 32.5 peratus daripada dana akan digunakan untuk mengembangkan operasi di Jerman dan pasaran Eropah, termasuk pembangunan dua projek tenaga solar utama di Bulgaria. Baki dana pula akan diperuntukkan bagi memperkukuh kehadiran syarikat di Kemboja dan Singapura," katanya.

Dalam pada itu jelas Thuan Ming, syarikat itu melihat prospek pertumbuhan yang positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui berikutan peningkatan permintaan global terhadap sumber tenaga bersih, khususnya di Eropah yang sedang mempercepatkan sasaran peralihan tenaga dan pengurangan karbon.

Pada masa sama katanya, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pembangunan pusat data turut meningkatkan keperluan terhadap bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya saing.

Menurutnya lagi, teknologi fotovoltaik kini muncul sebagai antara sumber tenaga paling kompetitif dari segi kos dan paling mudah dikembangkan, menjadikannya komponen penting dalam transformasi tenaga global.

Beribu pejabat di Munich, Helios Solar AG merupakan syarikat induk kepada Kumpulan Helios yang terlibat dalam pembangunan, pembiayaan dan pelaksanaan projek tenaga solar untuk sektor komersial, industri, kediaman serta taman solar berskala utiliti.

Selepas penggabungan Helios Photovoltaic Sdn Bhd dari Malaysia ke dalam Helios Solar AG pada musim bunga 2026, kumpulan itu kini memiliki struktur operasi yang lebih kukuh bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang dan memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui global.

Must Watch Video

Advertisement