Skip to main content

Bisnes

CMP 2026-2030 pacu Malaysia hadapi ekonomi global kompleks - PM Anwar

71770604816_TBAnwarIbrahim.jpg
Anwar berkata, CMP 2026–2030 penting untuk memacu pertumbuhan, memperluas penyertaan ekonomi dan menyediakan laluan dana yang lebih cekap untuk syarikat tempatan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 pada Isnin membuka laluan untuk Malaysia mengharungi situasi ekonomi global yang semakin kompleks, serta menepati jangkaan pelabur yang berubah dengan pantas.

Bagi membuka sepenuhnya potensi pasaran modal Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara harus melangkah ke fasa seterusnya dengan semangat baharu dan tujuan yang jelas.

Justeru, katanya lagi, CMP 2026-2030 menetapkan empat keutamaan iaitu memperkukuh pengumpulan modal, menggalakkan dinamisme perniagaan, menerapkan kelestarian sebagai pemacu nilai, serta meluaskan penyertaan bermakna merentas seluruh ekonomi.

“Aspirasi ini sejajar sepenuhnya dengan agenda transformasi nasional yang lebih luas. Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kita sedang mempercepat peningkatan keupayaan industri, memperdalam kerumitan ekonomi, dan membina firma yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global. 

“Pasaran modal negara mesti memacu peralihan ini dengan menyediakan laluan yang berkesan untuk syarikat mengumpul dana dengan cekap, berkembang dengan keyakinan, dan berinovasi dengan tujuan yang jelas,” jelasnya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan pelan strategik lima tahun CMP 2026-2030.

CMP ialah pelan pembangunan strategik lima tahun yang digubal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memacu kemajuan pasaran modal negara secara terancang, menyeluruh dan berfasa. 

Sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2001, CMP menjadi kerangka utama yang memastikan pasaran modal Malaysia kekal cekap, telus, berdaya saing dan mampu menyokong pembiayaan ekonomi ketika negara melalui pelbagai fasa perkembangan.

Antaranya pemulihan pasca Krisis Kewangan Asia, ketidaktentuan global akibat pandemik COVID-19, hinggalah era digital dan keperluan peralihan tenaga.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya turut menekankan bahawa landskap global yang berubah pantas menuntut Malaysia memperdalam penyertaan pasaran, membina keyakinan pelabur dan memastikan potensi pasaran modal negara dapat dibuka sepenuhnya.

Beliau berkata, kemajuan teknologi, perubahan corak pelaburan dan keperluan modal untuk peralihan tenaga serta pembangunan industri memerlukan ekosistem pasaran modal yang lebih tangkas, kompetitif dan inklusif.

Anwar turut menjelaskan bahawa Malaysia perlu meluaskan saluran syarikat ke pasaran awam, termasuk peningkatan penyertaan bumiputera dan lebih banyak firma bersaiz sederhana yang mampu bersedia untuk penyenaraian.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam perlu diterjemah kepada penyelesaian nyata melalui pembiayaan wakjaf, instrumen kewangan sosial Islam, serta model pembiayaan campuran (blended finance) yang berupaya memberikan impak sosial lebih jelas.

Beliau turut menyambut baik pelancaran Social Exchange Platform di bawah kerangka SC, yang bakal meningkatkan ketelusan dan kredibiliti pembiayaan untuk tujuan sosial dan komuniti, sekali gus memastikan modal bukan sahaja berfungsi sebagai pemacu keuntungan, tetapi juga kesejahteraan masyarakat.

“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh berdiri kaku. Kita mesti menerima ‘creative destruction’ era pasca-normal ini, bukan dengan rasa takut, tetapi dengan keyakinan bahawa kita mampu muncul lebih kuat.”

 

 

Must Watch Video