Skip to main content

Bisnes

Buruh paksa: AS lancar siasatan ke atas 60 negara termasuk Malaysia

41745622014_TBJamiesonGreer.jpg
Greer berkata siasatan itu akan menentukan sama ada kerajaan asing telah mengambil langkah mencukupi untuk melarang pengimportan barangan dihasilkan dengan buruh paksa. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menerusi Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah memulakan siasatan terhadap 60 ekonomi di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 negara itu, seksyen yang digubal antara lain untuk menangani kegagalan mengambil tindakan terhadap buruh paksa.

Antara 60 negara terlibat ialah rakan dagang terbesar AS termasuk tujuh negara ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Walaupun terdapatnya konsensus antarabangsa mengenai buruh paksa, kerajaan (asing) telah gagal untuk mengenakan dan menguatkuasakan secara berkesan langkah melarang barangan yang dihasilkan dengan buruh paksa daripada memasuki pasaran mereka,” kata Duta USTR Jamieson Greer dalam kenyataan yang dikeluarkan di Washington pada Khamis.

"Sudah terlalu lama, pekerja dan firma Amerika dipaksa bersaing dengan pengeluar asing yang mungkin mempunyai kelebihan kos buatan yang diraih daripada gejala buruh paksa," katanya.

Greer menambah siasatan itu akan menentukan sama ada kerajaan asing telah mengambil langkah mencukupi untuk melarang pengimportan barangan dihasilkan dengan buruh paksa dan bagaimana kegagalan untuk menghapuskan amalan buruk itu memberikan kesan terhadap pekerja dan perniagaan AS,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 digubal untuk menangani amalan asing yang tidak adil yang menjejaskan perdagangan AS.

Seksyen 301 boleh digunakan untuk bertindak balas terhadap amalan kerajaan asing yang tidak wajar, tidak munasabah atau diskriminasi yang membebankan atau menyekat perdagangan AS, katanya.

Di bawah Seksyen 302(b) Akta Perdagangan, USTR boleh memulakan sendiri siasatan di bawah Seksyen 301.

Siasatan di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan meneliti sama ada tindakan, dasar atau amalan negara asing adalah tidak munasabah atau mendiskriminasi dan membebankan atau menyekat perdagangan AS.

Menurut kenyataan itu, selepas mempertimbangkan nasihat Jawatankuasa Seksyen 301 yang terdiri daripada pelbagai agensi dan berunding dengan jawatankuasa penasihat, USTR telah memulakan siasatan berkenaan.

Apabila sesuatu siasatan dimulakan, USTR hendaklah mengadakan rundingan dengan ekonomi yang tindakan, dasar atau amalannya sedang disiasat.

USTR telah memohon untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan ekonomi yang terbabit dengan siasatan itu. 

Badan itu akan mengadakan sesi perbicaraan berkaitan siasatan pada 28 April 2026

Negara BRICS utama iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, turut tertakluk pada penyiasatan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video