KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat 0.71 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian berikutan sentimen tempatan yang semakin baik serta pembelian terpilih dalam kaunter berkaitan indeks susulan penyusutan harga baru-baru ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 12.33 mata kepada 1,729.60 daripada 1,717.27 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka meningkat 4.13 mata kepada 1,721.40, mencapai paras terendah 1,714.12 pada sesi pertengahan pagi sebelum kembali mengukuh sepanjang hari sehingga akhir dagangan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur berikutan tumpuan kekal terhadap konflik di Asia Barat serta pengumuman pendapatan syarikat permodalan mega di Amerika Syarikat tidak lama lagi.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 629 berbanding 626. Sejumlah 530 kaunter tidak berubah, 933 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.85 bilion unit bernilai RM3.38 bilion berbanding 3.74 bilion unit bernilai RM3.30 bilion pada Isnin.
Bercakap kepada Bernama, Thong berkata FBM KLCI kekal berada melebihi paras 1,700 dan telah pulih semula daripada sekitar 1,680 pada minggu lepas, menunjukkan pelabur mula membeli saham ketika harga rendah.
Bagaimanapun kenaikan pasaran mungkin terhad berikutan indeks sedang menguji paras rintangan 1,730, katanya.
Beliau berkata risiko luaran masih berlarutan memandangkan perkembangan di Asia Barat masih tidak stabil, dengan rundingan damai masih belum mencapai penyelesaian yang jelas manakala ketegangan di sekitar Selat Hormuz turut menyebabkan harga minyak terus meningkat.
Sementara itu, Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan pasaran saham sebahagian besarnya disokong oleh saham petrokimia yang mengikut trend kenaikan harga minyak mentah Brent, yang meningkat melebihi US$110 setong.
Pada masa sama, FBM70 terus menunjukkan prestasi baik sekali gus menunjukkan peralihan dalaman yang jelas di pasaran domestik, katanya.
“Walaupun minat risiko dilihat semakin meningkat, corak asas pasaran menunjukkan peralihan yang lebih defensif, dengan kenaikan harga minyak global dan ketegangan geopolitik yang berterusan mendorong aliran masuk dalam sektor berkaitan tenaga serta sektor domestik yang lebih berdaya tahan, bukannya menandakan pemulihan kitaran ekonomi yang menyeluruh,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 12 sen kepada RM11.22, Public Bank menambah enam sen kepada RM4.78, CIMB meningkat 13 sen kepada RM7.78, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM8.81 manakala Tenaga Nasional rendah enam sen kepada RM14.52.
Bagi saham paling aktif, Luster Industries susut setengah sen kepada 3.5 sen, Zetrix AI berkurangan satu sen kepada 86 sen, VS Industry menyusut 1.5 sen kepada 21 sen manakala UEM Sunrise menokok 7.5 sen kepada 66.5 sen dan MRCB menambah dua sen kepada 33.5 sen.
Saham paling untung termasuk Nestle yang mengukuh RM3.18 kepada RM102.30, Fraser and Neave meningkat 72 sen kepada RM31.40, KESM naik 46 sen kepada RM4.19, United Plantations meningkat 38 sen kepada RM32.00 dan Dutch Lady menokok 28 sen kepada RM32.78.
Saham paling rugi antaranya Malaysian Pacific Industries yang merosot 38 sen kepada RM37.50 manakala Allianz susut 36 sen kepada RM20.80, Kelington dan Batu Kawan masing-masing rendah 16 sen kepada RM6.22 dan RM20.98, dan UWC berkurangan 15 sen kepada RM5.12.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 82.61 mata kepada 12,798.74, Indeks FBMT 100 melonjak 84.94 mata kepada 12,634.33, Indeks FBM Emas Shariah naik 69.10 mata kepada 12,729.19, Indeks FBM 70 menokok 100.90 mata kepada 18,269.97 dan Indeks FBM ACE susut 1.48 mata kepada 4,656.54.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 184.72 mata kepada 20,161.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.90 mata kepada 195.81, Indeks Tenaga susut 0.28 mata kepada 831.33 manakala Indeks Perladangan menyusut 4.11 mata kepada 8,830.46.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.25 bilion unit bernilai RM3.07 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM3.01 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.18 bilion unit bernilai RM161.79 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM141.36 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 415.85 juta unit bernilai RM152.85 juta daripada 409.6 juta unit bernilai RM154.98 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 298.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (49.75 juta), pembinaan (249.04 juta), teknologi (299.38 juta), perkhidmatan kewangan (58.83 juta), hartanah (428.21 juta), perladangan (46.85 juta), amanah pelaburan hartanah (26.67 juta), dana tertutup (10,500), tenaga (153.68 juta), penjagaan kesihatan (90.08 juta), telekomunikasi dan media (24.34 juta), pengangkutan dan logistik (39.86 juta), utiliti (43.82 juta), dan amanah perniagaan (85,600).
-- BERNAMA