Skip to main content

Bisnes

ASNB umum agihan pendapatan: 5.50 sen seunit ASB 2, 5.00 sen ASM

ASNB umum agihan pendapatan 5.50 sen seunit bagi ASB2 dan 5.00 sen seunit bagi pemegang unit ASM
PNB memaklumkan kedua-dua dana berkenaan terus mencatatkan pulangan kompetitif dan mampan, dengan agihan dividen kekal sejajar tahun kewangan sebelumnya meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

Dalam kenyataan hari ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB) memaklumkan ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, akan mengagihkan RM2.36 bilion secara keseluruhan.

ASB 2 merekodkan agihan pendapatan berjumlah RM0.82 bilion, bersamaan 5.50 sen seunit kepada 680,141 pemegang unit yang memiliki 15.88 bilion unit, manakala ASM mengagihkan RM1.54 bilion, bersamaan 5.00 sen seunit kepada 786,088 pemegang unit dengan pegangan 31.22 bilion unit.

Sehingga 24 Mac 2026, ASB 2 mencatatkan pendapatan direalisasi bersih sebanyak RM0.90 bilion, sementara ASM merekodkan RM1.64 bilion.

PNB memaklumkan kedua-dua dana berkenaan terus mencatatkan pulangan kompetitif dan mampan, dengan agihan dividen kekal sejajar tahun kewangan sebelumnya meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

“Prestasi ini dicapai dalam suasana pertumbuhan ekonomi global yang tidak sekata serta turun naik pasaran yang meningkat, disertai ketegangan geopolitik yang memuncak,” menurut PNB.

Menurutnya, strategi peruntukan aset yang berdisiplin serta berteraskan jangka panjang dengan penekanan kepada kepelbagaian pelaburan merangkumi pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan swasta berjaya membantu mengurus ketidaktentuan pasaran.

PNB memaklumkan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus itu mengatasi kadar deposit tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.18 peratus, iaitu lebih tinggi sebanyak 332 dan 282 mata asas.

Agihan pendapatan bagi ASB 2 dan ASM dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan dan akan dilabur semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2026.

Sementara itu, urus niaga bagi ASB 2 dan ASM di cawangan serta ejen ASNB termasuk saluran dalam talian dan perbankan internet akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Mac, 2026 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak agihan pendapatan dan menyambung semula urus niaga menerusi portal myASNB, aplikasi mudah alih myASNB atau di cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 April 2026.

-- BERNAMA 

Must Watch Video