Skip to main content

Bisnes

Asas ekonomi kukuh bantu Malaysia hadapi ketidaktentuan - Gabenor Bank Negara

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour pada sidang akhbar Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia BNM 2025 di Sasana Kijang Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Malaysia memasuki situasi ini dari kedudukan yang kuat, dengan asas ekonomi yang membantu kita mengharungi cabaran semasa, kata Abdul Rasheed. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia memasuki fasa ketidaktentuan global dalam kedudukan ekonomi yang kukuh, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bercakap kepada CNBC, beliau berkata, prestasi ekonomi negara pada suku ketiga dan keempat tahun lalu mengatasi jangkaan, dengan pertumbuhan mencecah 5.2 peratus berbanding unjuran awal sekitar 4.4 hingga 4.8 peratus.

Katanya, asas ekonomi yang kukuh itu membantu Malaysia menghadapi ketidaktentuan semasa, termasuk kesan konflik di Asia Barat terhadap harga tenaga global.

“Malaysia memasuki situasi ini dari kedudukan yang kuat, dengan asas ekonomi yang membantu kita mengharungi cabaran semasa,” katanya.

Menurut Abdul Rasheed, pemacu utama pertumbuhan seperti penggunaan swasta, pelaburan dan eksport kekal teguh, disokong permintaan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), khususnya didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, sektor pelancongan turut menunjukkan pemulihan memberangsangkan apabila ketibaan pelancong dan perbelanjaan melepasi paras prapandemik.

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia, kata beliau, mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus tahun ini, dengan kadar inflasi dijangka kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.5 peratus.

Mengulas kesan konflik Asia Barat, beliau menjelaskan, situasi semasa merupakan “kejutan bekalan” (supply shock) yang berpunca daripada kenaikan harga tenaga global.

Namun, kesan terhadap harga domestik bergantung kepada tempoh konflik, paras harga minyak serta tahap kerosakan infrastruktur pengeluaran tenaga.

Tambah beliau, pelaksanaan subsidi bahan api untuk kumpulan tertentu dalam negara membantu mengurangkan kesan kenaikan kos global terhadap pengguna.

Selain itu, status Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih serta pengukuhan nilai ringgit turut membantu meredakan tekanan inflasi.

“Walaupun harga global meningkat, beberapa faktor domestik membantu mengekang kesan kepada harga tempatan, namun kami terus memantau perkembangan ini dengan rapi,” katanya.

Must Watch Video