KUALA LUMPUR: Komposer kelahiran Malaysia, Joy Ngiaw mencipta sejarah apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Emmy yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 2 Mac lalu.
Menerusi Anugerah Emmy Kanak-Kanak & Keluarga edisi keempat itu, Ngiaw meraih kemenangan dalam kategori Pengarahan Muzik dan Komposisi Terbaik bagi Program Animasi.
Ngiaw, 31, meraih pengiktirafan tersebut menerusi hasil kerjanya dalam siri pengembaraan fiksyen sains popular, WondLa, yang kini memasuki musim kedua dan boleh ditonton di platform penstriman Apple TV+.
Pengiktirafan buat anak kelahiran Pahang ini turut meraih perhatian selepas kemenangan besar Tan Sri Michelle Yeoh yang dimartabat Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Oscar menerusi filem, Everything Everywhere All At Once pada tahun 2023.
“Kemenangan ini amat bermakna, dan saya berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda berbakat dari Malaysia dan Asia Tenggara untuk mengejar impian mereka dalam bidang seni,” katanya.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang muzik komposisi bagi produksi animasi.
Mengulas lanjut, Ngiaw berkata anugerah berkenaan amat bermakna buat dirinya dan diharap menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk menceburi bidang seni.
Anugerah Emmy Kanak-Kanak & Keluarga merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan dalam kandungan hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga, termasuk program animasi, pendidikan serta produksi kreatif lain.