KUALA LUMPUR: Pemergian seniwati legenda, Datuk Seri Maria Menado, merupakan satu kehilangan besar kepada dunia perfileman Melayu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata lakonan Allahyarham yang cukup ikonik, khususnya menerusi filem Pontianak pada 1957, bukan sahaja mencipta fenomena tersendiri, malah membuka jalan kepada perkembangan genre seram tempatan seperti yang dikenali hari ini.
“Perginya beliau bukan sekadar kehilangan seorang pelakon, tetapi juga sebahagian daripada sejarah dan kenangan industri seni kita.
“Ramai yang membesar dengan lakonan Allahyarham, dan aura yang dibawanya masih terasa hingga kini,” katanya menerusi hantaran di media sosial, Khamis.
Kementerian Komunikasi turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta mereka yang pernah mengenali dan bekerjasama dengan Allahyarham.
“Semoga segala jasa dan sumbangannya menjadi amal yang berpanjangan.
“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya lagi.
Astro AWANI sebentar tadi melaporkan, Allahyarham meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari Khamis pada usia 94 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi ahli keluarga di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan menantu Allahyarham, Sairul Amar Ayob, yang berkata ibu mentuanya dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak 14 April lalu.