MESKIPUN berbeza stesen, merangkumi Era, Era Sabah, Era Sarawak, Sinar, THR Gegar dan Zayan, penyampai radio daripada enam rangkaian Astro Radio memilih untuk berkongsi satu irama yang sama menerusi lagu raya khas berjudul Inilah Raya.
Gabungan hampir 20 penyampai itu bukan sekadar menghasilkan sebuah karya muzik baharu, tetapi turut menzahirkan semangat kebersamaan yang menjadi inti pati sambutan Aidilfitri.
Semangat itu menjadi fokus utama projek berkenaan, yang menyatukan personaliti radio dari seluruh negara dalam satu naskhah meriah dan mesra pendengar.
Penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, berkata mesej kebersamaan menjadi tonggak utama lagu berkenaan.
"Sebenarnya kita boleh sahaja buat seorang dua nyanyi lagu raya... tapi kali ini, kita buat ramai-ramai. Sebab tema kita, bila bersama lagi jadi. Kebersamaan itu, ukhuwah itu yang kita cuba nak zahirkan," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Bagi penyampai Gen SINAR Pagi, Roy Azman, inisiatif itu wajar diraikan sebagai satu perkembangan positif dalam industri radio.
"Bagi saya, ini merupakan perkembangan positif. Semua stesen radio Astro bergabung untuk hasilkan satu album raya. Pada saya, lagu ini memang mantap," tambahnya.
Lagu ciptaan Amy Bong itu mengangkat konsep moden tradisional dengan susunan muzik ceria dan mudah diterima pendengar.
Di sebalik irama rancak, mesej yang dibawa tetap jelas iaitu Aidilfitri adalah tentang merapatkan silaturahim, serta meraikan kejayaan dan pengorbanan bersama.
Ketua Pengarah Astro Radio, Priya Dharshini Prabakaran, berkata penyatuan enam stesen dalam satu lagu merupakan pendekatan baharu berbanding kelaziman sebelum ini.
"Kita came up with idea kita kata nak buat macam lagu raya lama, bukan macam yang sekarang ini moden sangat kan.
"So, kita nak buat the feel macam... kalau anda stuck in the jam nak balik kampung pun, dengar lagu ni anda tak rasa macam nak tukar channel," jelasnya.
Buat julung kalinya, pelancaran lagu raya ini turut melibatkan kerjasama rasmi bersama TikTok Shop, langkah strategik yang disifatkan mampu mendekatkan kandungan audio kepada pendengar digital di seluruh negara.
Menurut Pengurus Jenama Sinar, Azureen Effendi, platform itu menjadi pemangkin penting untuk mempercepatkan capaian lagu berkenaan.
“Astro Audio bersama dengan TikTok supaya lagu ini lebih mudah dan cepat sampai kepada orang ramai. Sekarang ini apa-apa yang viral, selalunya bermula di TikTok.
"Jadi sebab itu kita gunakan platform ini supaya orang cepat tangkap lagu kita dan, insya-Allah, mungkin cepat viral juga," ujarnya.