KUALA LUMPUR: Kumpulan K-pop sensasi dunia, BTS bakal mengadakan konsert jelajah dunia Arirang World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember depan.
Kumpulan yang dianggotai Jin, J-Hope, Jimin, Jungkook, RM, Suga dan V itu dijadual menghiburkan peminat selama dua malam iaitu pada 12 dan 13 Disember, bermula jam 7.30 malam.
Live Nation Malaysia menerusi media sosial memaklumkan, jualan tiket prajualan khas Army Membership akan dibuka pada 3 Jun, jam 11 pagi, diikuti prajualan Trip.com pada 4 Jun, jam 9 pagi.
Prajualan Live Nation pula berlangsung pada hari sama jam 11 pagi sebelum jualan umum dibuka pada 5 Jun, jam 11 pagi.
Harga tiket ditawarkan bermula RM338 hingga RM1,288.
Kuala Lumpur merupakan antara destinasi penting dalam siri jelajah Asia BTS selepas kumpulan itu mengumumkan beberapa lokasi lain termasuk Seoul, Tokyo, Bangkok dan Singapura.
BTS sedang menjayakan siri jelajah Amerika Utara yang bermula di Goyang, Korea Selatan bulan lalu serta dijadual membuat penampilan khas di American Music Awards 2026 pada 25 Mei ini.
Kumpulan itu turut diumumkan bakal menyertai persembahan separuh masa Piala Dunia FIFA 2026 bersama Madonna dan Shakira di Stadium MetLife, Amerika Syarikat pada 19 Julai depan.