KUALA LUMPUR: Festival automotif dan budaya pop terkemuka negara, Art of Speed (AOS) 2026, kembali untuk edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos ini di MAEPS, Serdang, dengan penganjuran terbesar sejak ia diperkenalkan.
Acara tahun ini turut menyaksikan kepulangan Festival SoundCircus yang sebelum ini tidak dianjurkan selama dua tahun.
Berlangsung di kawasan festival seluas empat ekar, SoundCircus tampil dengan enam pentas serta barisan 54 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Jepun dan Singapura.
Antara nama besar yang bakal membuat persembahan termasuk Cokelat X Ella, Tenxi, Masdo, Iqbal M, Johnny Pandora serta beberapa gabungan unik yang pertama kali dipersembahkan, antaranya:
Cokelat X Ella – “Takhta Ratu Nusantara”
Jemson X Def Gab C – “Legends X Renegades”
Slatan 0108 – 010.8 FM presents: Hari Slatan
Issey & The Clique – “Dikir Kustom”
Couple X Adnan Othman – “Power Pop Yeah Yeah”
Pengarah AOS dan SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar berkata, edisi kali ini menandakan evolusi festival yang semakin memberi impak kepada industri kreatif serta pembangunan pelancongan negara.
Menurut Asep, penganjuran tahun ini turut menerima sokongan Tourism Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab acara gaya hidup dan pelancongan kreatif.
SoundCircus 2026 juga buat julung kalinya menyediakan sehingga empat pentas dalam dan luar dewan, bagi menampung lebih banyak genre dan kelompok peminat muzik.
Senarai Pemuzik: Fasa 1 & Fasa 2
Fasa 1 merangkumi 20 pemuzik termasuk The Jansen (Indonesia), Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Second Combat (30 Years Anniversary) dan barisan DJ seperti DJ Queizham serta DJ Zu.
Fasa 2 pula melibatkan 34 pemuzik antaranya Freshtown All Stars, Nadin Amizah (Indonesia), Straight Answer (Indonesia), Johnny Pandora (Jepun), Issey & The Clique, Jemson X Def Gab C dan Iqbal M.
Fasa 3 akan diumumkan dalam masa terdekat.
AOS 2026 dijangka menjadi antara acara gaya hidup terbesar tahun ini, menghimpunkan komuniti automotif, muzik, seni dan budaya pop dalam satu festival berskala mega.