BERLIN: Pelakon tersohor Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima Honorary Golden Bear, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Festival Filem Berlin (Berlinale) - salah satu penghormatan paling berprestij dalam dunia perfileman gobal.
Anugerah itu disampaikan pada malam pembukaan Berlinale ke‑76 pada Khamis.
Dalam ucapan yang penuh emosi, Michelle menyatakan, anugerah berkenaan bukan penutup perjalanan seni, tetapi satu detik untuk merenung pencapaian sebelum melangkah ke hadapan.
“Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat merupakan frasa besar. Ia kedengaran seperti satu kesimpulan, tetapi saya lebih suka menganggapnya sebagai satu jeda… satu masa untuk bernafas, melihat ke belakang, dan terus melangkah ke hadapan,” katanya sambil mengesat air mata.
Seniwati berusia 63 tahun itu turut berkongsi, sebagai anak Malaysia yang pernah “tidak pasti tentang dirinya”, menerima pengiktirafan sebegitu adalah satu perjalanan luar biasa.
“Saya tidak pernah membayangkan seorang wanita dari Malaysia… yang mencintai disiplin, tarian akan mengembara sejauh ini melalui dunia penceritaan,” katanya.
Bagi Michelle juga, Berlin mempunyai nilai sentimental yang besar. Festival itu merupakan antara yang pertama memberi pengiktirafan awal terhadap kerjayanya, termasuk menjemput beliau menjadi juri pada 1999.
“Berlin mengalu-alukan saya ketika saya masih mencari tempat saya dalam dunia seni,” katanya sambil menyifatkan festival itu sebagai pentas yang meraikan suara dari sudut yang mungkin terpinggir.
Tokoh Asia pertama raih Honorary Golden Bear
Michelle mencatat sejarah apabila menjadi wanita Asia pertama meraih anugerah berprestij ini.
Seiring pengiktrafan itu, nama beliau kini sebaris dengan penerima terdahulu seperti Martin Scorsese, Meryl Streep, Steven Spielberg dan Tilda Swinton.
Dalam ucapan yang penuh emosi itu juga, Michelle mengenang mendiang ayahnya.
“Ayah tidak lagi ada untuk melihat momen ini. Tetapi saya membawa semangatnya — disiplin, ketegasan dan kepercayaannya bahawa jika sesuatu itu berbaloi dilakukan, ia harus dilakukan dengan penuh usaha,” katanya.
Sementara itu, pengarah Sean Baker yang menyampaikan anugerah itu, menyifatkan Michelle sebagai “kehadiran layar perak yang muncul sekali dalam satu generasi” dan seorang artis yang “mengubah suhu dalam mana-mana ruang yang beliau masuk”.
Festival itu turut memuji keberanian Michelle dalam memilih watak-watak yang melangkaui batasan stereotaip terhadap pelakon Asia.
Kata Michelle: “Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa mereka yang kelihatan seperti saya akan terus dilihat, didengari dan diiktiraf.”
Majlis penyampaian berlangsung dalam suasana hujan renyai di Berlinale Palast, disertai bintang antarabangsa seperti Daniel Bruhl, Neil Patrick Harris dan Bella Ramsey.
Berlinale 2026 berlangsung sehingga 22 Februari, menampilkan karya dari seluruh dunia termasuk filem pembukaan No Good Men. - Agensi