Skip to main content

Gaya Hidup

Maaf, walau rindu, tiada bazar Ramadan di Warsaw!

 Menunggu waktu berbuka puasa di masjid bersama para jemaah
Berbuka puasa di masjid sangat meriah apabila ramai jemaah yang berasal dari seluruh pelosok dunia sama-sama menjamu hidangan nasi berlauk daging dan buah-buahan yang disediakan secara percuma melalui sumbangan orang ramai. - Gambar ihsan Adam Mikael

WARSAW: Bulan Ramadan, bulan paling mulia bagi umat Islam seluruh dunia. 

Setahun sekali, umat Islam menahan lapar dan dahaga, untuk tempoh tertentu sebagaimana ditetapkan syarak.

Setahun sekali juga, ingatan tumpah kepada hidangan di bulan puasa. 

Kemanisan kurma, keenakan martabak berkuah kari dan bawang cuka, keredaan air tangan bonda, Aidee Shauki Hashimi, sediakan juadah berat aasi minyak serta keriuhan orang ramai lalu lalang di bazar Ramadan.

Tidak dilupa, hanya setahun sekali, keindahan dirasai saat bermoreh bersama bapa Aris Abdillah Mohamed Kamal dan rakan-rakan, selepas solat Tarawih selesai.

Saya tidak dapat merasakan itu semua tahun ini, 2026. Sudah dua tahun, berpuasa di perantauan, jauh dari ibu bapa, sepi dari merasai keriangan laungan jualan di bazar Ramadan.

Sungguh, mahu menangis juga apabila terkenang saat-saat itu,lebih-lebih lagi apabila kesunyian menghimpit dalam dinginnya suhu di Warsaw.

Apabila melihat video baru-baru ini bagaimana rancaknya jual-beli di satu bazar Ramadan di Hainan, China, hati saya terasa sayu, dijentik rindu tiba-tiba.

"Tetapi, maaf ya, tiada bazar Ramadan di sini, di Warsaw. Kita iftar ringkas, cara di sini," kata rakan Muslim saya dari Turkiye yang sudah lama berada di Poland, lebih khusus di Warsaw.

Begitu juga, hati saya jadi sayu tetapi rindu kepada bazar Ramadan apabila terlihat "posting" rakan di London, berkongsi meriahnya bazar di tempat mereka belajar.

"Tidak mengapa, berpuasa, berbuka, imsak dan Tarawih di Warsaw tetap menguji keimanan, bukan tiada yang istimewa, anggap itu satu pengalaman yang tiada galang ganti apabila pulang ke Malaysia nanti," pujuk ibu saya, Aidee Shauki semasa saya berkongsi cerita Ramadan kepadanya.

Image
pelajar Malaysia, Adam Mikael Aris Abdillah di Poland
Penulis (kiri) bersama rakan-rakan di hadapan apartmen.

Puasa 12 jam di Warsaw

Selepas hampir dua minggu umat Islam berpuasa, ada yang istimewa mengenai Rukun Islam ketiga ini, khususnya di tempat saya di Warsaw, Poland, negara yang minoriti penduduknya beragama Islam.

Bulan puasa pada tahun ini di Poland jatuh pada musim sejuk. Suhunya dingin luar biasa dan apabila angin berhembus, sejuknya mencengkam hingga tulang.

Di jalanan dan atap bangunan, putih dilitupi salji  tebal dengan suhu mencecah 0°C.

Bagusnya Ramadan di musim sejuk, tempoh berpuasa tidak lama. Ini kerana siangnya pendek, senja cepat dialu-alukan semesta.

Bagi saya, Ramadan kali ini di Warsaw, bukan semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menjadi satu pengembaraan baharu yang penuh dengan kejutan dan penyesuaian budaya.

Berbeza dengan puasa di tanah air di mana waktu berbuka puasa seringkali konsisten sepanjang bulan, waktu berbuka di Warsaw berubah dari hari ke hari.

Setiap hari, waktu berbuka di sini beranjak satu hingga dua minit mengikut peralihan dari musim dingin ke musim bunga. 

Tempoh berpuasa juga lebih pendek, hanya 12 jam berpuasa. Ya, lebih pendek atau hampir sama dengan Malaysia dan di Mekah juga.

Bayangkan, seawal jam 5 petang, azan Maghrib sudah berkumandang! 

Jadi, saya merasakan, walaupun tiada masa bertandang ke bazar Ramadan, saya mengakui berbuka lebih awal adalah satu keistimewaan yang saya tidak alami di tanah air.

Untuk persiapan juadah berbuka, walaupun kurang mahir memasak, saya tetap gigih untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan.

Saya lupakan mengenai bazar Ramadan di sini. 

Bermula membeli daging, menyediakan bahan bahan memasak dan masa menghidang, semuanya saya lakukan sendiri. 

Alhamdulillah, terdapat kedai halal  berdekatan dengan apartmen, menjadikan lebih mudah untuk saya memasak dan berbuka.

Untuk menu, lazimnya, saya lupakan untuk menikmati ayam bakar, laksa Johor, yang mudah didapati di bazar Ramadan di Malaysia. 

Saya reda memasak nasi putih berlauk ikan Salmon atau memilih menu ringkas pasta makanan laut sahaja.

Lazimnya, pada hari biasa, saya berbuka puasa bersama rakan Muslim serumah saya di apartmen. 

Namun, lebih banyak masa berbuka dihabiskan semasa kelas berlangsung di kampus.

Saya gemar membawa bersama bekalan yang mengandungi kurma dan minuman ke kelas.

Kadangkala, istimewanya Ramadan di Warsaw, Poland ini, ada juga rakan lain yang membawa bekalan, dan kami akan berkongsi makanan bersama-sama. Ini kerana saya percaya : "Bila bersama, lagi jadi."

Pada malam-malam yang kurang sibuk, saya seboleh-boleh mungkin mengambil peluang untuk ke masjid mengerjakan solat Tarawih.

Nama masjid yang berdekatan dengan universiti saya ialah Osrodek Kultury Muzułmanskiej atau Pusat Kebudayaan Islam.

Jarak dari apartmen ke masjid juga tidak begitu jauh, hanya kira-kira enam kilometer, tetapi kalau berjalan atau menaiki bas, masa yang diambl mungkin sehingga 40 minit.

"Berjalan kaki dalam suhu -5°C menimbulkan rasa keinsafan yang luar biasa dalam diri sendiri, " saya berkongsi pengakuan kepada rakan Muslim lain, sama jurusan.

Ini kerana saya akui, kepayahan itu - mengharungi cuaca sejuk, mengajar saya tentang jihad mencari ilmu, iaitu perlu bersusah-payah dahulu, sebelum dianugerahkan kemudahan kemudiannya dengan izin Allah SWT.

Iftar di masjid bukan sekadar isi perut

Berbuka puasa pada hujung minggu paling dinanti-nanti. 

Maaf, tiada air tangan bonda mengiringi hidangan menu, tiada bazar Ramadan untuk ditunjuk pembelian cendol serta air dingin pelbagai warna.

Di masjid, saya berbuka. Dalam cuaca sejuk dan dingin, ruang makan di masjid berubah menjadi meriah apabila ramai jemaah yang berasal dari seluruh pelosok dunia sama-sama menjamu hidangan nasi berlauk daging dan buah-buahan yang disediakan secara percuma melalui sumbangan orang ramai. 

Image
Juadah berbuka puasa yang dimasak bersama rakan-rakan islam di apartmen
Juadah berbuka puasa yang dimasak bersama rakan-rakan islam di apartmen.

Ketika ini, ramai warga Muslim dari Asia Barat dan Asia Selatan serta negara bekas Soviet, memenuhi masjid untuk iftar perdana.

Di sini, saya terasa istimewa Ramadan di Warsaw kerana suasana jamuan bukan sekadar platform untuk mengisi perut yang kosong, malah membuka peluang untuk mencari rakan dan kenalan baharu dari pelbagai latar belakang.

"Mungkin berbeza, tetapi mirip bazar Ramadan di Malaysia, apabila berkumpul beramai-ramai dengan hidangan pelbagai makanan yang boleh dipilih," bisik hati saya semasa berbuka di masjid pada awal bulan puasa kali ini.

Kemuncak yang paling saya nantikan adalah jemputan majlis berbuka puasa di Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Maaf, di sini, di Warsaw, tiada bazar Ramadan yang saya teramat ingin kunjungi.

Namun, di sini juga tempatnya saya berpeluang melepaskan rindu dengan masakan tradisional seperti nasi minyak, dihidang bersama ayam masak merah. 

Bertambah-tambah saya menikmati hidangan ini. Walaupun bukan seenak ibu saya masak, tetapi rindu masakannya terlerai dengan suapan demi suapan menu di kedutaan Malaysia ini.

Di sini juga saya berkesempatan untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan komuniti Malaysia yang lain.

Image
Bergambar bersama rakyat Malaysia yang hadir di jamuan berbuka puasa
Bergambar kenangan bersama rakyat Malaysia yang hadir di jamuan berbuka puasa anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw.

Walaupun jauh dari kemeriahan bazar Ramadan dan aroma masakan ibu, pengalaman berpuasa pada bulan Ramadan di bumi Poland ini memberikan ruang untuk saya bermuhasabah diri.

Walaupun berbeza, semangat ketakwaan yang dipupuk di perantauan ini tetap kuat, membuktikan bahawa keberkatan Ramadan tidak mengenal sempadan atau perbezaan budaya.

Maaf, tiada bazar Ramadan di Poland, tetapi tetap ada manis sebutir kurma di tengah kelas kuliah berjalan; ada keriangan saat iftar bersama lagi jadi dan ada keriuhan pengajaran ketika melangkah ke masjid meredah salji dalam dingin cuaca di sebuah negara Eropah seperti di Poland.

Itu menjadikan bulan puasa tetap istimewa di Warsaw, Poland.

Data setakat tahun 2025 menunjukkan, terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Poland, kebanyakannya mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, perniagaan dan teknologi maklumat.

Malaysia dan Poland menjalin hubungan diplomatik pada 1971. 

Kedutaan Poland di Kuala Lumpur dibuka pada 1977 sementara Kedutaan Malaysia di Warsaw dibuka pada 1978.

Poland juga merupakan anggota Kesatuan Eropah, EU sejak tahun 2004.


* Artikel ini ditulis oleh Adam Mikael Aris Abdillah. Beliau merupakan pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Komputer di University Vistula Warsaw, Poland.

** Artikel ini merupakan pengalaman peribadi penulis.

Must Watch Video