Skip to main content

Malaysia

World of Kebaya Gathering martabatkan warisan, tarik minat generasi muda

WORLD OF KEBAYA_Astro AWANI
Busana kebaya tradisional dan moden pada World of Kebaya Gathering di Fahrenheit 88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dalam usaha memartabatkan warisan budaya serta menarik minat generasi muda terhadap kebaya dan aksesori tradisional. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Keindahan dan keunikan busana tradisional terus diraikan menerusi penganjuran World of Kebaya Gathering yang berlangsung meriah di Fahrenheit 88, Bukit Bintang hari ini.

Acara berkenaan menghimpunkan pencinta kebaya dan aksesori daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda bagi memartabatkan budaya tradisional yang menjadi simbol identiti serta perpaduan rakyat Malaysia.

Ketua Biro Usahawan Elite Pertubuhan Inovasi Wanita & Pembangunan Sosial KL (WISDOM), Shasha Tural berkata program itu bukan sahaja mengetengahkan keanggunan kebaya dan aksesori tradisional, malah menjadi platform memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda dan masyarakat antarabangsa.

“Generasi muda hari ini gemar mengikut fesyen semasa dan konsep 'mix and match'. Jadi, kami mahu tunjukkan warisan seperti kebaya dan aksesori tradisional masih boleh digayakan secara moden ketika ke majlis, membeli-belah atau bersantai bersama rakan,” katanya.

Menurut beliau, sambutan dalam kalangan anak muda amat menggalakkan dengan kemunculan ramai pereka fesyen muda yang terus mengekalkan elemen asli warisan budaya dalam rekaan mereka.

Sementara itu, peniaga aksesori kerongsang Baba Nyonya, Pepper Lim, berkata perhiasan tradisional mampu menjadi simbol keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini kerana ia boleh dipakai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia.

“Saya mahu mempromosikan budaya dan perhiasan Baba Nyonya kepada generasi muda supaya mereka lebih menghargai warisan sendiri. Perhiasan ini bukan sahaja dipakai masyarakat Cina, malah Melayu, India dan pelbagai kaum lain juga boleh menggayakannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beberapa peserta muda turut berkongsi pandangan mengenai keistimewaan kebaya sebagai warisan budaya yang masih relevan dalam dunia fesyen masa kini.

Seorang peserta berkata kebaya bukan sekadar pakaian tradisional, malah ia merupakan busana yang menarik dan mampu membuatkan pemakainya tampil elegan serta anggun.

“Saya sangat gembira melihat ramai golongan muda memakai pakaian tradisional hari ini dan berharap lebih ramai akan berminat menyertai acara seperti ini,” ujarnya.

Seorang lagi peserta pula menyifatkan kebaya sebagai warisan budaya yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. 

“Kebaya sangat cantik, bergaya dan elegan. Sebab itu saya tertarik untuk terus memakainya,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah peserta muda dari Indonesia yang berkata beliau mula memakai kebaya sejak berusia enam tahun dan berasa teruja dapat bertemu rakan baharu serta melihat pelbagai pakaian tradisional di acara tersebut.

Selain memperagakan pelbagai rekaan kebaya tradisional dan kontemporari, program itu turut dimeriahkan dengan sesi fotografi, persembahan budaya dan aktiviti interaktif yang menghidupkan suasana warisan Nusantara di tengah ibu kota

Must Watch Video

Advertisement