KUALA LUMPUR: Peruntukan hukuman terhadap pemandu mabuk, khususnya yang menyebabkan kemalangan maut, perlu diperketat dan dipertingkatkan bagi menimbulkan kesan pencegahan serta membangkitkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan undang-undang sedia ada masih belum setimpal jika dibandingkan dengan tahap kesalahan yang dilakukan.
Beliau berkata, hukuman bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan ketika ini dilihat masih rendah sehingga tidak memberi kesan pencegahan yang mencukupi kepada masyarakat.
"Jika dilihat dari sudut undang-undang sedia ada, hukuman bagi kesalahan kemalangan jalan raya masih agak ringan.
"Saya juga pernah menyuarakan keperluan memperkenalkan konsep corporate manslaughter, khususnya membabitkan syarikat yang mengendalikan pengangkutan awam seperti bas, selain tanggungjawab individu yang menyebabkan kematian.
"Pada saya, mungkin rakyat Malaysia kena tengok hukuman itu, baru dia macam was-was. Sebab kalau tidak, mungkin dia rasa boleh (bayar saman atau denda). Kalau kata (denda) RM50,000 boleh dapat diskaun RM20,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026, di sini, pada Jumaat.
Menurut Azalina lagi, meskipun terdapat pelbagai peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan itu, kadar hukuman yang rendah berpotensi memberi persepsi bahawa kesalahan berkenaan boleh 'dibayar' melalui denda.
"Kadang-kadang masyarakat melihat denda itu rendah dan merasakan mereka mampu membayarnya, itu mesej dia.
"Justeru, kementerian berkaitan perlu meneliti semula akta sedia ada dan membawa pindaan ke Parlimen bagi memastikan hukuman lebih setimpal dan berat. Itu tertakluk kepada kementerian tersebut.
"Kalau saya, terus kenakan hukuman dahsyat, tapi saya bukan Menteri Pengangkutan," ujarnya.
Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat dikenakan iaitu penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
Dalam kes terbaru, seorang pemandu treler merempuh belakang van dinaiki lima sekeluarga sehingga mengorbankan tiga daripadanya di Gemas Baru, Segamat.
Pemandu treler itu disahkan positif dadah selepas polis menjalankan ujian saringan air kencing sejurus kemalangan terbabit.
Dalam kejadian Ahad lalu pula, ayah kepada tiga anak, Amirul Hafiz maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu seorang juruteknik yang bergerak laju di laluan bertentangan menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat.
Lelaki itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung motosikal mangsa.
Pemeriksaan mendapati lelaki tersebut mabuk dan di bawah pengaruh alkohol.