KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyokong penuh langkah intervensi bersasar yang dilaksanakan kerajaan bagi meringankan beban rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pendekatan diambil kerajaan memperlihatkan satu kerangka tersusun dan berfokus dalam menangani kos sara hidup, selain memastikan momentum pemulihan ekonomi rakyat terus diperkukuh.
Menurutnya, langkah seperti pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus dengan implikasi kewangan sehingga RM21.03 juta memberi kelegaan kepada rakyat yang pulang ke kampung halaman.
"Selain itu, pelaksanaan pelepasan kebankrapan secara fast track kepada kira-kira 4,000 individu mencerminkan pendekatan progresif dan berperikemanusiaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Zaliha berkata, bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima, bantuan khas kepada penjawat awam, pesara serta golongan agamawan turut membuktikan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam aspek kebajikan sosial.
Katanya, pelaksanaan kawalan harga dan jaminan bekalan sepanjang Ramadan juga membantu memastikan kestabilan pasaran serta mengurangkan tekanan inflasi bermusim.
"Keseluruhan pakej ini menunjukkan keupayaan kerajaan menyelaras dasar fiskal dan sosial secara serentak dengan impak langsung kepada rakyat," katanya.
Tambah beliau, langkah berkenaan selaras dengan prinsip MADANI yang menekankan nilai ihsan dan berorientasikan rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi global ketika ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar terus mengamalkan perbelanjaan berhemah dan pengurusan kewangan yang baik bagi memaksimumkan manfaat daripada inisiatif disediakan kerajaan.