Skip to main content

Berita

Bantuan Ramadan oleh Muslim World League ringankan beban golongan memerlukan di lima negeri - Zulkifly

Ramadan Food Basket Muslim World League Malaysia
Majlis penyerahan simbolik cek peruntukan itu diadakan pada 14 Februari di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, melibatkan kerjasama strategik pelbagai pihak.

PUTRAJAYA: Golongan kurang berkemampuan di lima negeri dan Wilayah Persekutuan bakal menerima bantuan makanan asas sempena Ramadan akan datang hasil sumbangan kemanusiaan berjumlah SAR300,000 (kira-kira RM350,000) yang disalurkan oleh Muslim World League bagi pelaksanaan Program Agihan Bakul Makanan Ramadan di Malaysia.

Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada keluarga memerlukan bagi membantu persiapan sahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan khususnya di Sabah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifly Hasan, ketika menerima sumbangan tersebut berkata, inisiatif seumpama itu mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat, khususnya menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Bantuan ini amat bermakna dalam meringankan beban kos sara hidup golongan memerlukan, selain memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa,” katanya pada majlis penyerahan simbolik cek peruntukan itu  yang diadakan pada Sabtu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Program agihan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemantauan rapi, melibatkan rakan strategik tempatan bagi memastikan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas sampai kepada kumpulan sasaran.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Muslim World League, selaras dengan komitmen kemanusiaan global organisasi itu dalam menyokong komuniti terdedah di pelbagai negara, termasuk Malaysia.

Inisiatif berkenaan turut sebahagian daripada program Ramadan antarabangsa yang diselaraskan dari Mekah, dengan fokus kepada usaha kebajikan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan masyarakat.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kerjasama yang diberikan bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat yang memerlukan.

Must Watch Video