NEW DELHI: Sebuah universiti swasta di India berdepan kecaman hebat selepas didakwa cuba mempersembahkan anjing robot buatan China sebagai ciptaan sendiri pada India AI Impact Summit 2026.
Penganjur mengarahkan Galgotias University mengosongkan reruai pamerannya serta-merta selepas penonton mengenal pasti robot empat kaki itu sebagai Unitree Go2, produk komersial keluaran syarikat China, Unitree Robotics.
Kontroversi tercetus apabila video tular menunjukkan pensyarah, Neha Singh, mendakwa robot dinamakan “Orion” itu dibangunkan di pusat kecemerlangan universiti berkenaan.
Pengguna media sosial segera mengenal pasti robot tersebut sebagai Unitree Go2, yang dijual pada harga sekitar Rs2 hingga Rs3 lakh (sekitar RM11,200 hingga RM18,000) di India.
Susulan kecaman, pihak universiti menegaskan mereka tidak pernah mendakwa membina robot tersebut, sebaliknya ia digunakan sebagai alat pembelajaran.
Menurut sumber, bekalan elektrik ke reruai pameran Galgotias turut dipotong sebelum kakitangan diarahkan mengosongkan kawasan pameran.
Jurucakap universiti, Nitin Kumar Gaur, menjelaskan kekeliruan berpunca daripada penggunaan istilah “develop” (bangunkan) dan “development” (pembangunan) oleh wakil mereka, sambil menegaskan robot berkenaan dibeli untuk tujuan penyelidikan pelajar.
Universiti kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf dan menyifatkan wakil bertugas sebagai “kurang dimaklumkan” mengenai asal‑usul produk tersebut.
Insiden tersebut turut mencetuskan reaksi politik apabila parti pembangkang India mengecam kerajaan kerana membiarkan kejadian itu, yang disifatkan sebagai memalukan dan menjejaskan imej negara.
Walaupun diarah berundur, reruai universiti itu dilapor masih dibuka pada awal pagi Rabu ketika pegawai menjawab pertanyaan media.