TELEGRAM melancarkan kemas kini versi yang memperkenalkan beberapa ciri baharu bagi menambah baik pengurusan kumpulan, privasi, serta keupayaan penyuntingan media, lapor Amanz.
Antara ciri utama ialah Member Tags, yang membolehkan ahli kumpulan memaparkan tag di sebelah nama untuk menunjukkan peranan, bidang kepakaran atau minat.
Pentadbir boleh memilih sama ada ahli dibenarkan menetapkan tag sendiri atau hanya pentadbir boleh berbuat demikian.
Tag pentadbir turut dipaparkan dalam warna berbeza bagi memudahkan pengecaman.
Telegram juga menambah baik ciri penyuntingan media, termasuk keupayaan menambah kapsyen pada GIF, menyunting GIF dan pelekat dengan teks, lukisan serta emoji, selain menukar foto kepada pelekat secara serta-merta.
Fungsi komuniti turut dipertingkat dengan penambahan Timestamps pada undian, membolehkan peserta melihat masa undian dibuat.
Bot kini menyokong Streaming Responses, iaitu teks yang dipaparkan secara beransur-ansur bagi pengalaman interaksi yang lebih semula jadi.
Dalam masa sama, Telegram memperkenalkan Log In with Telegram, membolehkan pengguna mendaftar masuk ke aplikasi dan laman web tanpa perlu mengisi borang atau mencipta kata laluan.
Ciri Time & Date Formatting pula membolehkan mesej mengandungi tarikh dan masa yang boleh ditekan untuk menambah acara ke kalendar atau menetapkan peringatan.
Bagi pelanggan Telegram Premium, kemas kini ini turut membawa ciri Disable Sharing in Private Chats, yang menyekat sepenuhnya penghantaran semula mesej, tangkap layar dan penyimpanan media dalam perbualan peribadi, sekaligus menawarkan perlindungan privasi yang lebih kukuh.