HAIFA: Satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di kilang penapisan minyak Bazan di bandar pelabuhan Haifa, utara Israel, selepas ia menjadi sasaran serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran dan kumpulan pejuang Hezbollah, hari ini.
Rakaman video yang disiarkan saluran Channel 12 News menunjukkan api marak menjulang dari fasiliti strategik berkenaan, yang beberapa kali menjadi sasaran serangan sepanjang konflik.
הירי מאיראן ולבנון: שריפה פרצה בבתי הזיקוק בחיפה בעקבות נפילה@rubih67
צילום: תומר נגלי pic.twitter.com/HHWYCUNPDm— כאן חדשות (@kann_news) March 30, 2026
Menurut laporan, serangan tersebut dilancarkan secara bersama oleh Tehran dan pejuang Hezbollah dari selatan Lubnan, susulan siri tembakan peluru berpandu dan roket yang menggegarkan kawasan Haifa Bay dan wilayah Galilee.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu berpunca daripada impak peluru berpandu secara langsung atau serpihan daripada pintasan sistem pertahanan udara.
Kilang penapisan Bazan merupakan antara aset tenaga paling kritikal bagi Israel, dan sebarang kerosakan besar dijangka menjejaskan bekalan bahan api domestik serta rantaian logistik ketenteraan rejim itu.
Pasukan bomba dan penyelamat kini sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan tangki penyimpanan minyak berhampiran, yang boleh mencetuskan letupan lebih besar.