SANTA CLARA: Apple Inc dilapor sedang mempertimbang untuk menggunakan Intel Corporation sebagai pengeluar cip bagi peranti masa depan termasuk iPhone, iPad dan komputer Mac.
Menurut laporan media teknologi Amanz, kedua-dua syarikat telah mencapai persetujuan awal yang membolehkan Intel menghasilkan cip berdasarkan reka bentuk Apple, serupa dengan model pengilangan sedia ada bersama Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).
Fokus awal kerjasama itu dijangka melibatkan cip bagi peranti tertentu, termasuk model iPad dan Mac dalam segmen pertengahan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan pengeluaran berskala besar hanya dijangka berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan sasaran sekitar 2027 hingga 2028.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha Apple mempelbagaikan rantaian bekalan berikutan kebergantungan tinggi kepada TSMC, yang kini berdepan tekanan kapasiti akibat lonjakan permintaan cip kecerdasan buatan (AI).
Selain faktor kapasiti, kerjasama itu turut dikaitkan dengan usaha memperkukuh industri semikonduktor Amerika Syarikat serta meningkatkan fleksibiliti pengeluaran jangka panjang Apple.
Bagaimanapun, peralihan kepada Intel masih bergantung kepada tahap keupayaan teknologi pengilangan syarikat itu, termasuk kebolehpercayaan, kecekapan tenaga dan kadar hasil pengeluaran.
Setakat ini, Apple dan Intel belum mengumumkan secara rasmi butiran penuh atau model peranti yang akan menggunakan cip keluaran Intel.