LAS VEGAS: Disney memperkenalkan pensijilan tontonan baharu dikenali sebagai Infinity Vision, yang direka bagi memudahkan penonton mengenal pasti panggung wayang yang menawarkan pengalaman tontonan paling luas, terang dan imersif.
Pengumuman itu dibuat pada acara CinemaCon, hujung minggu lalu, sebagai sebahagian usaha Disney memperkukuh kedudukan dalam persaingan teknologi panggung wayang yang semakin berkembang.
Infinity Vision menekankan tiga elemen utama iaitu penggunaan skrin berskala maksimum, sistem pancaran laser bagi meningkatkan kejelasan dan kecerahan imej, serta sistem audio premium untuk pengalaman bunyi menyeluruh.
Menurut Disney, setakat ini sebanyak 75 panggung di Amerika Syarikat dan 300 panggung di peringkat global telah disahkan memenuhi piawaian pensijilan Infinity Vision.
Filem Avengers: Endgame bakal menjadi naskhah pertama yang ditayangkan semula menggunakan pensijilan berkenaan pada September ini, manakala Avengers: Doomsday dijadual menyusul pada Disember.
Pemerhati industri menyifatkan pengenalan Infinity Vision sebagai langkah Disney menyediakan alternatif kepada format IMAX, selain membuka ruang kepada penawaran tiket premium bagi meningkatkan kutipan pecah panggung.
Strategi itu turut dilihat signifikan susulan laporan bahawa slot IMAX bagi tayangan Avengers: Doomsday telah diperuntukkan kepada filem Dune: Part Three.
Dalam perkembangan berkaitan, landskap industri perfileman terus berubah apabila panggung wayang perlu menawarkan nilai tambah yang lebih ketara bagi menarik kembali penonton, susulan peningkatan populariti perkhidmatan penstriman di rumah.