Skip to main content

Teknologi

Anthropic sahkan kebocoran kod sumber Claude Code akibat kecuaian dalaman

71763550660_AnthropicAI.jpg
Anthropic menegaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada kecuaian teknikal dan bukannya akibat serangan siber atau sabotaj dalaman. -Gambar fail

SAN FRANCISCO: Firma kecerdasan buatan (AI) Anthropic mengesahkan kod sumber 'Claude Code' miliknya telah tertiris secara tidak sengaja oleh seorang kakitangan, semalam.

Insiden tersebut melibatkan ketirisan 1,900 fail TypeScript dengan lebih 500,000 baris kod yang mendedahkan pustaka dalaman, ciri-ciri baharu yang sedang dibangunkan serta alatan latihan Claude Code, lapor Amanz.

Anthropic menegaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada kecuaian teknikal dan bukannya akibat serangan siber atau sabotaj dalaman.

Fail berkenaan dilaporkan telah dimuat turun dengan pantas sebelum dimuat naik semula ke laman GitHub dan dikongsi sebanyak 41,000 kali dalam tempoh singkat.

Walaupun Anthropic telah mengeluarkan notis tuntutan hak cipta untuk menurunkan fail tersebut, kod sumber berkenaan kini dikesan telah tersebar di pelbagai laman perkongsian pihak ketiga.

Pada awalnya, ramai pihak menyangka berita ketirisan itu hanyalah jenaka 'April Fool' memandangkan ia berlaku pada jam 4 pagi, 1 April.

Bagaimanapun, Anthropic mengesahkan kesahihan insiden itu namun memberi jaminan bahawa tiada data sensitif milik pelanggan yang terjejas atau terdedah kepada umum.

Susulan kejadian itu, Anthropic sedang melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan bagi mencegah insiden serupa daripada berulang pada masa hadapan.

Syarikat itu juga terus memantau penyebaran kod berkenaan di platform digital bagi meminimumkan impak terhadap harta intelek mereka.

Must Watch Video