BEKAS juara dunia UFC kelas middleweight, Dricus du Plessis tampil memberikan reaksi terbuka selepas keputusan mengejut berlaku di UFC 328 apabila Sean Strickland berjaya menewaskan Khamzat Chimaev untuk merampas semula tali pinggang kejuaraan.
Dalam pertarungan utama UFC 328 yang berlangsung di Prudential Center, Newark, Strickland mencipta kejutan apabila menundukkan Chimaev menerusi keputusan 'split decision', sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama dalam karier profesional MMA buat petarung kelahiran Chechnya itu.
Kemenangan tersebut secara tidak langsung membuka semula laluan perebutan gelaran middleweight, termasuk buat Du Plessis yang sebelum ini pernah menewaskan Strickland sebanyak dua kali.
Menerusi reaksi yang dikongsikan UFC di Instagram, petarung dari Afrika Selatan itu berkata keputusan pertarungan tersebut berjalan seperti yang dijangkakannya.
“Saya sudah jangka pertarungan itu akan berlaku seperti itu. Sangat sukar untuk mengekalkan Sean di atas lantai. Dia berjaya membuatkan Khamzat keletihan dan dalam pertarungan stand-up, saya rasa Khamzat tidak mampu menandingi Sean,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Du Plessis turut menyatakan kemenangan Strickland itu seolah-olah menjadikannya “juara dunia semula” memandangkan rekod kemenangan berpihak kepadanya dalam dua pertemuan sebelum ini.
Untuk rekod, Du Plessis pernah merampas gelaran middleweight daripada Strickland di UFC 297 sebelum mempertahankan kejuaraan itu sekali lagi dalam aksi ulangan di UFC 312. Namun, beliau kehilangan tali pinggang tersebut kepada Chimaev di UFC 319 tahun lalu.
Kemenangan Strickland di UFC 328 kini dijangka membuka pelbagai kemungkinan baharu dalam divisyen middleweight termasuk potensi trilogi menentang Du Plessis atau aksi ulangan dengan Chimaev.
-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail