KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan untuk skuad negara melangkah ke tiga final bagi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung pada 16 hingga 23 Mei ini.
Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan berkata Malaysia selaku tuan rumah, memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, selain mahu meneruskan momentum kejayaan dalam acara regu dan berpasukan pada Sukan SEA Thailand tahun lepas.
“Kita sasarkan sekurang-kurangnya tiga final. Sudah tentu sebagai tuan rumah kita juga mahu mempertahankan kejuaraan acara regu dan berpasukan, walaupun ia bukan tugas mudah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Kebangsaan ke Piala Dunia Sepak Takraw 2026, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Mohd Sumali mengakui acara kuadran menjadi kebimbangan utama, kerana negara lain dilihat lebih memberi fokus dan memiliki kekuatan taktikal dalam acara tersebut.
Beliau berkata barisan kejurulatihan sudah mengenal pasti beberapa kelemahan, terutama dari aspek kombinasi “blocking” tiga pemain dan kini giat memperkemas aspek berkenaan menjelang kejohanan.
“Negara seperti Thailand sangat fokus kepada acara kuadran dan mereka mempunyai banyak variasi taktikal. Kita sudah kenal pasti kelemahan dan jurulatih sedang memberi tumpuan untuk memperbaiki aspek itu,” katanya.
Juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A divisyen premier acara regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 16 hingga 23 Mei ini.
Berdasarkan undian rasmi, skuad negara bakal berdepan cabaran Jepun dan Singapura dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
-- BERNAMA