Skip to main content

Sukan

Milan tewaskan Inter dalam ‘Derby della Madonnina’, harapan kejar Scudetto masih cerah

Inter Milan's Yann Bisseck, left, AC Milan's Pervis Estupinan, center, and Adrien Rabiot jump for the ball during the Serie A soccer match between AC Milan and Inter Milan, in Milan, Italy, Sunday, March 8, 2026. (AP Photo/Antonio Calanni)
Aksi pemain Inter Milan Yann Bisseck (kiri), Estupinan (tengah) dan Adrien Rabiot ketika perlawanan Serie A antara AC Milan dan Inter Milan, di Milan, Itali, 8 Mac 2026. (Foto AP)

AC Milan menghidupkan kembali harapan tipis dalam perebutan gelaran Serie A selepas menewaskan musuh setempat Inter Milan 1-0 dalam aksi panas Derby della Madonnina di San Siro, awal pagi tadi.

Gol tunggal jaringan Pervis Estupinan pada minit ke-35 sudah cukup untuk memastikan kemenangan penting buat Milan, sekali gus memberi sinar baharu dalam perlumbaan kejuaraan ketika musim memasuki fasa penentuan.

Jaringan itu terhasil apabila Estupinan bijak membaca hantaran ke ruang kosong sebelum melepaskan rembatan deras dari jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Inter.

“Ini adalah gol paling penting dalam hidup saya,” kata Estupinan selepas perlawanan.

Rakan sepasukannya, Luka Modric, memuji disiplin pertahanan Milan sepanjang perlawanan.

“Inter cuba bangkit selepas rehat, tetapi mereka hampir tidak mencipta peluang berbahaya,” katanya.

Walaupun kemenangan itu cukup bermakna, Inter masih kekal di puncak liga dengan 67 mata, tujuh mata di hadapan Milan ketika baki 10 perlawanan musim ini.

Inter turut berdepan masalah kecergasan apabila penyerang Marcus Thuram terlepas aksi akibat masalah kesihatan, manakala kapten, Lautaro Martínez hanya berada di bangku simpanan ketika masih pulih daripada kecederaan otot.

Pengendali Milan, Massimiliano Allegri bagaimanapun menegaskan bahawa sasaran utama pasukannya masih kekal untuk menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik.

“Inter masih pilihan utama untuk menjuarai liga. Kelebihan tujuh mata adalah sangat besar,” katanya.

Menurut Allegri, Milan telah bekerja keras sepanjang musim untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik ketika memasuki bulan Mac -- fasa paling kritikal dalam musim.

Pertembungan antara dua gergasi Milan ini dikenali sebagai Derby della Madonnina, dinamakan sempena patung Virgin Mary yang berada di puncak Milan Cathedral.

Derby ini telah berlangsung sejak 1909 dan kekal menjadi antara perlawanan paling ikonik dalam bola sepak Itali.

Dengan kemenangan ini, Milan turut melengkapkan kemenangan berganda dalam aksi liga ke atas Inter musim ini*, selepas turut menang 1-0 dalam pertemuan pertama.

Kini, dengan baki 10 perlawanan, persoalan besar mula timbul -- mampukah Milan melakukan kebangkitan dramatik untuk mencabar gelaran Serie A?

 

Must Watch Video